113. SURAH AL FALAQ (5 ayat) – ‘WAKTU SUBUH’
114. SURAH AN-NAAS (6 ayat) – ‘MANUSIA’
SURAH AL-FALAQ (Subuh) - iaitu surah yang ke 113 yang diturunkan di Madinah selepas Surah Al-Fiil. Surah Al-Falaq mengajar kita memohon perlindungan Allah Yang Maha Kuasa terhadap kejahatan makhluk-makhluk Tuhan dan juga perbuatan-perbuatan sihir, khianat, hasad dengki dan sebagainya.
KISAH PENURUNAN SURAH AL-FALAQ:
Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafiq telah mengenakan ilmu hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkannya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda). Maka, malaikat Jibrail turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut. (Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an).
Menurut Abdullah Yusuf Ali, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad s.a.w., terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. Dengan itu, Allah menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.
Terjemahan:
1. Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk;
2. Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
3. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
4. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
5. Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".
SURAH AN-NAAS iaitu surah yang ke 114, diturunkan di Mekah yang bererti manusia. Surah Al-Falaq dan surah An-Naas adalah dua surah yang digelar “Mu’awwizatain” atau dua Ta’awuz. Ia diturunkan setelah Nabi Muhammad SAW selalu berdoa kepada Allah SWT memohon perlindungan dari kejahatan manusia dan syaitan atau jin.
Surah An-Naas mengajar kita memohon perlindungan dari Allah SWT terhadap bahaya-bahaya yang batin seperti bahaya dari syaitan atau jin, tipu daya makhluk, perasaan atau ingatan buruk yang boleh merosakkan akidah, amal ibadat dan cara hidup kita.
Terjemahan:
1. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
2. Yang Menguasai sekalian manusia,
3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
4. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,
5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
6. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
Fadilatnya:-
1. Untuk menyembuhkan orang terkena sihir atau yang seumpamanya, bacakan 41 kali setiap hari selama tiga, lima atau tujuh hari berturut-turut. InsyaAllah akan sembuh.
2. Untuk menaikkan semangat berani membela kebenaran dari kekejaman orang-orang yang memegang kuasa, orang-orang jahat dan sebagainya, bacalah kedua-dua surah ini sebanyak 100 kali.
3. Baca surah-surah ini sebanyaknya apabila sesat jalan seperti dalam gelap atau dalam hutan, insyaAllah akan terselamat.
4. Baca kedua-dua surah ini dengan yakin, insyaAllah orang yang membacanya akan terhindar daripada penyakit, perbuatan sihir dan sebagainya. Atau ia dibaca oleh orang lain dan ditiupkan kepada seseorang yang terkena gangguan makhlus halus. Jika seseorang membacanya sebelum tidur, insyaAllah dia akan terhindar dari sebarang penyakit dan malapetaka.
5. Surah Al Falaq baik dibaca 11 kali pada orang yang sakit, insyaAllah sakitnya segera sembuh. Amalan ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu baginda sakit demam panas terlalu teruk sehingga rambutnya gugur walaupun berubat tetapi belum juga sembuh. Ketika itulah Jibrail membawa wahyu (Surah Al Falaq). Dijelaskan oleh Jibrail bahawa penyakit baginda itu adalah buatan orang-orang Yahudi melalui 11 tali simpulan yang bergantungan di dalam telaga buta. Setiap kali baginda membaca surah Al-Falaq, maka putuslah tali-tali itu satu demi satu. Akhirnya Rasulullah SAW sembuh seperti sediakala.
6. Amalkan membaca kedua-dua surah ini 3 kali pagi dan petang, didahului dengan membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas, insyaAllah segala keperluan hidup akan cukup dan sempurna.
No comments:
Post a Comment