25. SURAH AL-FURQAAN (77 ayat) – ‘PEMBEDA YANG MEMISAHKAN ANTARA YANG BENAR DAN YANG SALAH’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Al Furqaan adalah surah ke-25 dan terdiri atas 77 ayat. Dinamai Al Furqaan yang bererti pembeza, diambil dari kata Al Furqaan yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Yang dimaksud dengan Al Furqaan dalam ayat ini ialah Al Quran. Al Quran dinamakan Al Furqaan kerana dia membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka pada surah ini pun terdapat ayat-ayat yang membezakan antara kebenaran keesaan Allah s.w.t. dengan kebatilan kepercayaan syirik.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Allah Maha Besar berkat dan kebaikan-Nya; hanya Allah SWT sahaja yang menguasai langit dan bumi; Allah SWT tidak punya anak dan sekutu; Al Quran benar-benar diturunkan dari Allah SWT; ilmu Allah SWT meliputi segala sesuatu; Allah SWT bersemayam di atas Arsy; Nabi Muhammad s.a.w. adalah hamba Allah SWT yang diutus ke seluruh alam; rasul- rasul itu adalah manusia biasa yang mendapat wahyu dari Allah SWT; pada hari kiamat akan terjadi peristiwa-peristiwa luar biasa seperti belahnya langit, turunnya malaikat ke bumi, orang-orang berdosa dihalau ke neraka dengan berjalan atas muka mereka.
2. HUKUM HAKAM: Tidak boleh mengabaikan Al Quran; larangan menafkahkan harta secara boros atau kikir; larangan membunuh atau berzina; kewajiban memberantas kekafiran dengan mempergunakan alasan Al Quran; larangan memberikan saksi palsu.
3. KISAH-KISAH: Kisah-kisah Musa a.s., Nuh a.s., kaum Tsamud dan kaum Syu'aib.
4. LAIN-LAIN: Celaan-celaan orang-orang kafir terhadap Al Quran; kejadian- kejadian alamiyah sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah SWT; hikmah Al Quran diturunkan secara beransur-ansur; sifat-sifat orang musyrik antara lain mempertuhankan hawa nafsu; tidak mempergunakan akal; sifat-sifat hamba Allah yang sebenarnya.
FADILATNYA:-
1. Baca surah ini sebanyak 3 kali ke atas air yang bersih lalu air itu dipercikkan di dalam rumah, nescaya rumah itu akan terselamat dari gangguan binatang-binatang yang liar dan ular-ular yang bisa.
2. Ayat 23 boleh digunakan untuk mencegah dan merawat sihir dan santau.
"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan."
3. Membaca ayat 58 – 59 akan semakin kuat iman dan bertambah keberanian.
4. Bagi lelaki Islam yang belum berumahtangga, Ayat 74 ini hendaklah dijadikan amalan dan dibaca setiap kali selesai solat fardhu. Siapa yang mengamalkannya, insyaAllah akan memperolehi isteri dan anak-anak yang bertakwa serta menyejukkan hati.
Untuk yang sudah berumahtangga, amalkan doa ini untuk rumah bahagia. Dibaca setiap lepas waktu solat.
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
No comments:
Post a Comment