59. SURAH AL-HASYR (24 ayat) – ‘PENGUSIRAN’
DITURUNKAN DI MADINAH
Surah Al Hasyr merupakan surah yang ke 59 dalam Al Quran.
Fadilatnya:-
1. Jika dibaca berulang kali setiap malam Jumaat, maka orang yang mengamalkannya akan terhindar dari segala penyakit dan Allah SWT tetapkan imannya menghadapi ujian dan cubaan hidup.
2. Amalkan membaca doa Ayat 10 (bermula dari “robbanagh firlana..” hingga habis) pagi dan petang agar hati dijauhkan dari melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang seperti hasad dengki, membalas dendam, pemarah dan sebagainya.
"Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
3. Ayat 21-24 jika dibaca pada air lalu diminumkan kepada budak pelayan atau anak yang dikhuatirkan pergi, maka insyaAllah tidak akan pergi tanpa izin.
21. "Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."
22. "Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."
23."Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya."
24. "Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana."
4. Untuk menguatkan ingatan, tulis ayat 22-24 pada mangkuk atau piring. Kemudian curahkan air hujan yang terus dari langit (air itu tidak ditadah dari atap atau seumpamanya) ke dalam mangkuk tadi. Kemudian diminum, insyaAllah ingatan kita akan kuat kembali mudah untuk menghafal.
Ayat 22-24 ini juga boleh diamalkan untuk anak-anak lembut hati / elak panas baran.
5. Sesiapa ketika bangun Subuh dan Asar membaca :-
“A’uzubillahiminassyaitonirrajim”, diikuti membaca ayat 22-24 Surah Al Hasyr, maka Allah SWT mewakilkan 70 malaikat berselawat atasnya hingga ke petang dan jika dia meninggal dunia pada hari itu, dikira mati syahid.
6. Untuk melembutkan hati, baca Ayat 21 diikuti dengan Surah Taha Ayat 1-6. Selepas itu bacalah surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Al Ikhlas, Al Kafirun, An-Nas dan akhir sekali ditutup dengan doa, “Ya Allah, KAU lembutkanlah hati anak-anakku, hatiku, sebagaimana KAU melembutkan besi Nabi Daud.”
alhamdulillah syukur dan terima kasih kerana berkongsi ilmu. Semoga saudara mendapat limpahan rahmahNYa
ReplyDelete