56. SURAH AL WAAQI’AH (96 ayat) – ‘HARI KIAMAT’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Al Waaqi’ah bererti Hari Kiamat, iaitu Surah yang ke 56 di dalam Al Quran. Surah ini diturunkan sesudah Surah Taahaa. Ia menolak anggapan kaum kafir musyrik yang meragui akan berlakunya Hari Kiamat.
POKOK-POKOK ISINYA:
A. Keimanan:
1. Huru-hara di waktu terjadinya hari kiamat;
2. Manusia di waktu hisab (hari perhitungan) terbahagi atas tiga golongan, iaitu golongan yang segera menjalankan kebaikan, golongan kanan dan golongan yang celaka serta balasan yang diperoleh oleh masing-masing golongan;
3. Bantahan Allah SWT terhadap keingkaran orang-orang yang mengingkari adanya Tuhan, hari berbangkit, dan adanya hisab;
4. Al Quran berasal dari Luh Mahfuz.
B. Lain-lain: gambaran tentang syurga dan neraka.
FADILATNYA:-
1. Membacanya setiap malam akan menjauhkan kepapaan selama-lamanya. Kemanafaatan surah ini adalah untuk menarik rezeki yang halal, apabila dibacanya sekalipun tanpa ada tambahan bacaan doa lainnya.
2. Tersebut dalam kitab Khazinatul Asrar:- Membaca surah ini 41 kali dalam suatu majlis, akan ditunaikan hajat khususnya dalam perkara memohon rezeki daripada Allah. Surah ini mempunyai rahsia yang sangat besar dan khasiatnya yang ajaib dalam hal mencari kekayaan dan menghilangkan kemiskinan. Ajarkan dia kepada anak-anak.
3. Amalkan membacanya sebagai wirid selepas tiap kali solat Asar sebanyak 14 kali, insyaAllah akan segera terbuka pintu rezeki.
4. Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit, insyaAllah akan ringanlah sakitnya.
5. Jika dibacakan dihadapan orang yang sedang nazak, insyaAllah akan memudahkan sakaratulmautnya.
6. Jika dibacakan untuk ahli kubur, insyaAllah akan meringankan siksa kuburnya.
7. Barangsiapa membaca surah Al Waqiah pada tiap-tiap malam Jumaat, ia mendapat beberapa kelebihan:-
a. Allah SWT mengasihinya
b. Sekalian manusia juga mengasihinya
c. Terhindar dari melakukan kejahatan
d. Selamat dari kepapaan
e. Dapat mengelak dari kebinasaan
8. Barangsiapa membaca surah Al Hadid, Al Waqiah dan Ar Rahman, ia mendapat gelaran dari Allah Yang Maha Besar dengan seruan; “Wahai penduduk Jannatul Firdaus”
9. Ayat 5 dari surah ini dan ayat 14, surah Al Haqqah apabila ditulis pada pinggan lalu diisi air dan dilebur, kemudian diminumkan orang yang sulit dan sukar kencing, maka insyaAllah dapat menjadi mudah bahkan kemungkinan hingga dapat mengeluarkan batu karang.
"Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya"
-Surah Al-Waaqi'ah : Ayat 5
"Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur"
-Surah Al Haqqah : Ayat 14
10.Untuk memulihkan sakit kepala, bacalah ayat 19 sebanyak 3 kali, kemudian tiupkan ke kepala orang yang sedang sakit. InsyaAllah sakit kepala itu akan hilang.
"Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya."
11.Khas Untuk Wanita - rawatan dalaman supaya awet muda, bacalah ayat-ayat 35 – 38.
Caranya:-
a. Lepas Isyak ambil air segelas, baca Al Fatihah 1x, Ayat Kursi 1x dan Ayat 35-38 tujuh kali.
b. Tiup dalam air dan minum. Niat dalam hati untuk menjaga kecantikan diri kita untuk
kebahagiaan rumahtangga kita.
(35). Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
(36). Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
(37). Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
(38). (semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
12.Ayat 36 hingga 74 diamalkan untuk murah rezeki dari segi kesihatan, kewangan dan harta kekayaan.
13. Cara di Nur Syifa berlindung kepada Allah dari makhluk ghaib yang jahat dengan membaca surah Al-Waqiah : 1 - 7. ( Tahan Nafas ).
No comments:
Post a Comment