35. SURAH FAATHIR (45 ayat) – ‘PENCIPTA’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Faatir merupakan surah yang ke-35 dan mengandungi 45 ayat keseluruhannya. Dinamakan Surah Faatir yang membawa maksud "Pencipta" kerana dalam ayat yang pertama surah ini, Allah SWT menegaskan kekuasaanNya sebagai sang Pencipta yang menjadikan seluruh makhluk menurut bentuk yang dikehendakiNya.
POKOK-POKOK ISINYA:
Pada mulanya ditegaskan kekuasaan Allah SWT menciptakan sekalian makhlukNya, dan menegaskan bahawa apa jua jenis Rahmat yang diberikanNya kepada umat manusia maka tidak sesuatupun yang dapat menahannya (terhadap Rahmat itu), demikian juga sebaliknya.
Kemudian diperingatkan umat manusia supaya janganlah mereka terpedaya terhadap kemewahan hidup di dunia, dan janganlah pula mereka diperdayai oleh syaitan yang menjadi musuh dan mesti dijauhi akan tipu dayanya.
Kemudian Allah Taala menerangkan bahawa Dia menjadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang dipilihNya dari kalangan hamba-hambaNya; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri yakni dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran; dan ada yang bersikap sederhana; serta ada pula yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah SWT.
Setelah itu, dikemukakan Allah SWT satu lagi pertanyaan yang berupa amaran kepada golongan yang masih berdegil (meneruskan) dalam ke-engkaran dan kekufuran mereka terhadap Allah SWT; "Bukankah mereka pernah mengembara di muka bumi dan menyaksikan bagaimana kesudahan kaum-kaum kafir yang telah lalu zamannya?"
Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa kalaulah Allah SWT mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang telah mereka kerjakan, tentulah Dia tidak akan membiarkan mereka tinggal di atas muka bumi ini untuk sesuatu makhluk pun, akan tetapi Allah SWT tidak berbuat demikian, bahkan dia memberi tempoh kepada mereka tinggal diatas muka bumi ini hingga suatu masa tertentu (tujuannya supaya orang-orang yang ingkar dapat kembali insaf dan bertaubat dan orang-orang yang berdegil akan ditambah azabnya). Kemudian apabila sampai tempoh mereka, maka Allah SWT akan membalas masing-masing dengan adilnya, kerana sesungguhnya Allah SWT sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaan sekalian hambaNya.
FADILATNYA:-
1. Ayat 2 dari surah ini adalah doa supaya segala yang susah menjadi mudah.
"Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
2. Ayat 10 dibaca 3 kali setiap selesai solat fardhu, insyaAllah semua amal dan kebajikan pembacanya akan diterima. Demikian dinyatakan oleh para ulama. Sebaiknya selepas membaca ayat diatas, dilanjutkan dengan membaca “Laa ilaa ha illallahu wahdahu laa syariikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyii wayumiitu wahuwa `alaa kullisyai in qadiir”.
(10)“Kepada-Nyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik, sedang amal yang salih pula dimuliakan (diterima) olehNYA”
3. Barangsiapa membaca ayat 29 & 30, nescaya Allah SWT akan memberkati perniagaannya dan membukakan pintu-pintu rezeki.
4. Ayat 34 adalah doa kesyukuran terhapusnya perasaan dukacita. Elok menjadi amalan harian umat Islam.
"Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat)."
No comments:
Post a Comment