NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai; berlaku adil pada ketika suka dan marah; berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Abu Syeikh)
Tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu:
· Sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar apa juga yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya.
· Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk saja, malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.
· Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal pada kemudian hari.
Rasulullah SAW berpesan ada tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu:
· Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.
· Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.
· Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain, menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.
Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya. Begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lembah kebinasaan.
- Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment