1. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim
2. Dari Jabir ibnu Al Mufadlal ibnu Al Muhallab dari ayahnya berkata: "Aku telah mendengar Nu'man bin Basyir dalam khutbahnya berkata: Rasulullah saw bersabda: "Berlakulah adil di antara anak-anakmu, berlakulah adil di antara anak-anakmu." - Hadis Sunan An Nasa`iy Jilid 3. Hadis Nombor 3543.
3. Dari 'Amir dari Nu'man berkisah, bahawa ayahnya mengajaknya ke rumah Rasulullah saw untuk menyaksikan beliau atas pemberian yang diberikan hanya padanya, maka Rasulullah saw bertanya: "Adakah semua anakmu kamu beri juga sebagaimana yang kamu berikan pada Nu'man ini?" Jawab ayahnya: "Tidak". Sabda Rasulullah saw: "Kalau begitu, aku tidak mahu mempersaksikannya. Bukankah kamu akan senang, bila kebaktian anak-anakmu terhadapmu itu sama?" Jawabnya: "Tentu". Sabda beliau: "Kalau begitu, janganlah berlaku tidak adil terhadap mereka." - Hadis Sunan An Nasa`iy Jilid 3. Hadis Nombor 3536.
4. Nu'man bin Basyir r.a. sedang di atas mimbar berkata: "Bapa saya memberi sebuah pemberian kepada saya. 'Amrah binti Rawahah (ibu Nukman) berkata: Saya tidak suka sebelum engkau memperlihatkannya kepada Rasulullah s.a.w.". Lalu Basyir menghadap Rasulullah s.a.w., katanya: "Saya memberikan suatu pemberian kepada anak saya dari 'Amrah binti Rawahah, tetapi ibunya menyuruh saya untuk memperlihatkannya kepada tuan, hai Rasulullah!" Sabda beliau, "Apakah engkau beri semua anak engkau serupa itu?" Jawabnya: "Tidak!" Sabda beliau: "Takutlah kepada Tuhan dan berlaku adillah di antara anak-anakmu!" Kata Nukman: "Ia kembali, lalu dibatalkannya pemberian itu". - Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1215.
5. Mewartakan kepada kami Ahmad bin Al-Azhar; mewartakan kepada kami 'Abdurrazzaq bin Hammam; memberitakan kepada kami Ma'mar, dari Asy'ats bin 'Abdullah, dari Syahr bin Hausyab, dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya ada seseorang yang beramal dengan amalan ahli kebaikan selama tujuh puluh tahun. Ketika dia berwasiat, menyimpang dalam wasiatnya. Maka diakhiri hidupnya dengan amalannya yang jahat itu, akhirnya diapun masuk neraka. Dan sesungguhnya ada seseorang yang beramal dengan amalan ahli kejahatan selama tujuh puluh tahun. Dan dia bertindak adil dalam wasiatnya. Lalu diakhiri hidupnya dengan amalannya yang baik itu, akhirnya diapun masuk syurga". Abu Hurairah berkata: "Bacalah jika kalian mahu (yang ertinya: Itulah hukum-hukum Allah-sampai firman Allah-adzab yang menghinakan) - Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 2704.
Huraian:-
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)
No comments:
Post a Comment