SOALAN:
Ketika saya di tingkatan tiga, saya bernazar untuk berpuasa jika mendapat keputusan cemerlang dalam PMR. Alhamdulillah, saya memperoleh kejayaan seperti yang dicita-citakan itu dan sekarang saya berada dalam tingkatan 5, namun nazar saya masih belum disempurnakan.
Soalan saya, adakah puasa nazar tersebut tertunai dengan saya berpuasa sunat. Untuk makluman tuan, saya telah berpuasa sunat beberapa hari sebelum ini. Justeru puasa ini dilengahkan hingga dua tahun, adakah saya diwajib melakukan sesuatu selain puasa dan bagaimana niat puasa nazar. - AMIRUL MUSTAFA, Jertih, Terengganu.
JAWAPAN:
Sebelum menjelaskan tindakan yang sepatutnya saudara lakukan terhadap nazar yang sekian lama tertangguh penunaiannya itu, saya perlu jelaskan terlebih dahulu kedudukan nazar, hukum dan hikmatnya secara umum supaya saudara dan siapa jua yang menghadapi masalah yang serupa, dapat menyempurnakannya dengan betul dan sempurna.
Pengertian nazar menurut istilahnya secara mudah ialah mewajibkan diri sendiri melakukan sesuatu amalan dengan niat mendampingi diri pada Allah SWT. Sebagai contoh, seseorang berkata: Jika Allah menyembuhkan saya daripada penyakit ini, nescaya saya akan berpuasa sebanyak tiga hari dan sebagainya. Nazar ini wajib disempurnakan sebaik sahaja ia sembuh daripada penyakitnya itu.
Nazar dari segi amalan dan penghayatannya terbahagi tiga, iaitu:
1. Nazar melakukan kebajikan, misalnya ia berkata: Jika saya memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan, saya akan berpuasa sebulan dan sebagainya atau jika saya beroleh anak lelaki, saya akan membina sebuah masjid.
2. Nazar melakukan sesuatu yang diharuskan, misalnya ia berkata: Jika saya disembuhkan daripada penyakit ini, saya akan melancong ke luar negara dan sebagainya.
3. Nazar melakukan maksiat, misalnya ia berkata: Jika saya mendapat bonus pada tahun ini, saya akan tinggalkan sembahyang atau menajakan suatu perjudian (barang dijauhi Allah).
Nazar terjadi dan dikira sah sama ada bersyarat, misalnya seseorang berkata: Jika perniagaan saya mendapat untung, saya akan bina sebuah rumah kediaman anak yatim; atau nazar tanpa syarat, misalnya ia berkata: Demi Allah saya akan menamatkan Al-Quran sebanyak tiga kali dalam bulan Ramadan pada tahun ini.
Nazar saudara seperti dalam soalan di atas termasuk dalam bahagian nazar melakukan amal kebajikan dan bersyarat. Oleh itu, saudara hendaklah menyempurnakannya sebaik sahaja hajat tercapai. Allah SWT mewajibkan setiap orang yang bernazar dengan betul supaya menyempurnakannya.
Firman Allah yang bermaksud: Hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya (al-Haj: ayat 11). Allah juga memuji-muji hamba-Nya yang sedia menyempurnakan nazar, iaitu menerusi firman-Nya: Mereka dikurniakan kesenangan itu, kerana mereka menyempurnakan nazar serta takutkan hari akhirat yang azab seksanya menyeluruh di sana sini (al-Insan: 7).
Allah mengutuk keras orang munafik yang hanya bernazar tetapi gagal menyempurnakannya. Keterangan mengenai mereka boleh diikuti menerusi ayat-ayat 75-77 dalam surah al-Taubah.
Saudara telah melafazkan dengan azam yang teguh untuk berpuasa jika berjaya mendapat kejayaan cemerlang dalam ujian PMR. Kini hajat saudara telah tercapai dengan cemerlang. Justeru, saudara hendaklah menunaikan nazar itu dengan berpuasa seperti yang dinazarkan dahulu. Saudara sepatutnya menyempurnakan nazar itu secepat mungkin, kerana amal kebajikan semakin segera ditunaikan, semakin baik dan berfaedah.
Kata ulama: Sebaik-baik kebajikan ialah yang segera disempurnakan. Kelewatan hingga melebihi dua tahun daripada tarikh sepatutnya saudara berpuasa, tiada apa-apa denda yang dikenakan, lagipun nazar saudara tidak menyebutkan bulan dan tahun yang ingin ditunaikan, sebagaimana dalam soalan di atas.
Dalam kesempatan ini, saya ingin jelaskan dua perkara yang sepatutnya difahami saudara dan rakan-rakan yang ingin bernazar, iaitu:
1. Nazar bersyarat atau nazar mewajibkan diri sendiri melakukan sesuatu amal kebajikan yang dikaitkan dengan sesuatu kejayaan, hukumnya makruh menurut pendapat kebanyakan ulama, sekalipun nazar itu berupa ibadat seperti puasa, solat, sedekah dan lain-lain. Ini kerana hadis riwayat Bukhari bilangan 6608, Muslim 4/1640 dan lain-lain daripada Ibn Umar (r.a) katanya yang bermaksud: Nabi (s.a.w.) melarang daripada bernazar, kerana ia tidak boleh mengubah apa-apa, ia hanya biasa dilakukan orang yang bakhil berbuat kebajikan.
Hikmat yang tersirat di sebalik hukum makruh ini ialah kerana bimbang nanti orang mempercayai nazar itu mengubah takdir yang bakal menimpa seseorang, atau nanti ada orang menyangka bahawa nazar itu menentukan kejayaan baginya, atau disangkakan Allah SWT memberi kejayaan itu semata-mata kerana nazarnya. Justeru, hadis menyatakan: Nazar tidak mengubah sesuatu atau tidak mendatangkan apa-apa hasil yang baru.
Nazar yang saudara lakukan itu, disebutkan juga nazar mujazat (berbalas), kerana saudara akan berpuasa jika Allah SWT berikan kejayaan seperti yang saudara harapkan, iaitu beroleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Ini bermakna, jika saudara tidak beroleh kejayaan seumpama itu atau gagal, nescaya saudara tidak akan berpuasa. Sikap ini bertentangan dengan keikhlasan. Sepatutnya ibadat tidak diisyaratkan dengan apa-apa.
Sesuatu kebajikan yang menjadi wajib disebabkan nazar memang pun kurang menarik, kerana seolah-olah ada kepentingan peribadi di sebaliknya. Keadaannya samalah dengan sedekah yang dikeluarkan oleh seorang yang bakhil, ia sanggup menunaikan suatu sedekah, jika dilihatnya ada pulangan kebendaan yang menguntungkan. Sebaliknya jika tiada pulangan, nescaya tiada sedekah yang sanggup dikeluarkan. Inilah maksud sabda: Nazar hanya dilakukan orang yang bakhil berbuat kebajikan.
Antara hikmat mengapa nazar bersyarat itu hukumnya makruh ialah kerana ada unsur paksaan padanya. Kemungkinan besar seseorang tidak melakukan ibadat yang dinazar itu, jika tidak kerana dipaksa oleh nazarnya. Ia menunaikan ibadat itu tidak lagi dengan rela hati dan penuh pengabdian diri kepada Allah SWT, tetapi kerana dipaksa dan tiada pilihan lain di hadapannya. Mungkin pada masa-masa hadapan, ia tidak bernazar lagi kerana takutkan akibatnya.
Meskipun ulama menyatakan bernazar itu hukumnya makruh, bagi seseorang yang telah bernazar atau terlepas cakap yang mewajibkan dirinya melakukan sesuatu kebajikan, hendaklah dia menyempurnakannya kerana menjadi kewajipan baginya menyempurnakan sesuatu yang dinazarkan. Ayat-ayat al-Quran jelas menyatakan kewajipan itu, seperti yang dikemukakan terdahulu.
2. Kedudukan nazar yang sebenarnya ialah mendampingi diri pada Allah dengan ibadat-ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, sedekah dan sebagainya. Saudara telah bernazar dengan betul apabila ingin mendampingi diri kepada Allah dengan berpuasa jika mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Sesetengah orang bernazar membotakkan kepala, meminum arak atau ingin bersuka ria, jika tercapai sesuatu hajat yang dikehendaki. Nazar ini bertentangan dengan cara nazar yang sepatutnya dilakukan.
Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud menyatakan: Tiada nazar kecuali pada amalan yang dituntut keredhaan Allah padanya. Namun jika seorang bernazar untuk berbuat dosa seperti minum arak, tinggal sembahyang dan sebagainya, tidak harus baginya menyempurnakan nazar itu, sebaliknya hendaklah dia membayar kaffarah sumpah, iaitu memilih antara tiga perkara, sama ada memberi makan 10 orang miskin, memberi pakaian atau memerdekakan hamba. Jika ia gagal melaksanakan salah satu antara tiga pilihan itu, hendaklah dia berpuasa tiga hari dengan niat membayar kaffarah sumpah. Makanan yang dimaksudkan ialah bahan-bahan makanan yang sederhana dan mengenyangkan, atau pakaian yang terdiri daripada sarung atau seluar, baju dan penutup kepala yang biasa dipakai, sama ada lelaki atau perempuan, atau membebaskan hamba jika masih wujud sistem perhambaan.
Jika seseorang bernazar melakukan sesuatu yang harus, misalnya ia berkata: Jika anak saya kahwin, saya akan melakukan perarakan 10 ekor gajah. Orang ini harus melakukan perarakan seperti yang dinazarkan atau harus juga menggantikannya dengan membayar kaffarah sumpah seperti yang disebutkan di atas. Saya berpendapat, jika ia memilih untuk membebaskan diri dengan membayar kaffarah sumpah, nescaya lebih berfaedah bagi diri dan masyarakatnya.
Merujuk kepada soalan saudara, adakah memadai puasa wajib itu dengan melaksanakan puasa sunat sahaja? Bagi menjawabnya: Tidak memadai kerana amalan yang bertaraf wajib tidak terlepas dengan melaksanakan amalan yang bertaraf sunat. Justeru itu, saudara hendaklah berpuasa seperti yang dinazarkan.
Saya suka jelaskan di sini suatu kekeliruan yang mungkin timbul kepada saudara, iaitu sesetengah ibadat bertaraf sunat boleh terlepas atau berhasil pahalanya apabila ia mengerjakan amalan yang bertaraf wajib. Misalnya, puasa qada' dalam bulan Syawal memadai bagi menghasilkan pahala puasa sunat enam hari dalam bulan itu. Jika dikerjakan berasingan, nescaya lebih sempurna lagi.
Tersebut dalam sebuah kitab Hasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir dalam Fiqh al-Syafi’iyy, terjemahannya begini: Jika seseorang berpuasa qada' Ramadan pada bulan Syawal, atau berpuasa nazar atau juga sunat yang lain-lain, nescaya berhasil pahala sunat Syawal itu, kerana yang diperlukan ialah berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal, tanpa menyebut apa pun jenis puasa itu. Kedudukannya samalah dengan hukum solat Tahiyyat al-Masjid, pahala solat itu diperoleh dengan pelaksanaan apa jua solat ketika ia mula masuk masjid, kerana yang diperlukan ialat solat sebelum duduk, sama ada solat fardu, solat wuduk dan sebagainya.
Hukum ini adalah keringanan yang diberi Allah kepada seorang hamba-Nya. Seseorang tidak perlu menyulitkan ibadat atau memaksa sesuatu yang tidak dipaksakan.
No comments:
Post a Comment