Adab Ziarah Masjid Rasulullah s.a.w [1]
1. Disunatkan berazam untuk menziarahi Nabi dan masjid baginda agar mendapat pahala kedua-duanya ( pahala azam dan ziarah ).
2. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w sewaktu dalam perjalanan ke Madinah.
3. Berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Allah s.w.t buat NabiNya[2] iaitu ayat ke 80 surah al-Isra`:-
Maksudnya : "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"
4. Memasuki dengan kaki kanan dengan tawadhuk dan membayangkan kemuliaan Madinah ini sebagai tempat yang mulia yang dimasuki Islam tanpa peperangan. [3]
5. Mengamalkan doa-doa yang berkaitan dengan masjid.
Doa MENUJU ke Masjid:-
Diriwayatkan dalam sahih Muslim , dalam sebuah hadith bahawa Ibn Abbas r.a bahawa Nabi saw telah keluar dari rumah Maimunah r.a. selepas bertahajjud. Untuk ke masjid bersolat Subuh , maka baginda saw telah membaca doa yang bermaksud:-
"Ya Allah, jadikanlah cahaya di hatiku, cahaya di lidahku, cahaya di pendengaranku, cahaya di penglihatanku, cahaya dari belakangku, cahaya di hadapanku, cahaya dari atasku dan cahaya dari bawahku. Ya Allah, berilah aku cahaya".[4]
Cara Beramal :-
Berdoalah dengan doa ini ketika kita di dalam perjalanan dari tempat penginapan ke masjid Nabawi pada setiap waktu. Demikian pula dalam perjalanan menziarahi masjid-masjid bersejarah yang lain yang terletak sekitar al-Madinah al-Munawwarah [5].
Doa Masuk Masjid yang bermaksud:-
"Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, pada wajahNya yang mulia dan kekuasaanNya yang Qadim (tidak ada permulaannya) dari syaitan yang terkutuk. Dengan nama Allah dan semoga selawat dan salam tercurahkan kepada Rasulullah s.a.w. Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmatMu untukku". [6]
Doa Keluar Masjid yang bermaksud:-
"Dengan nama Allah semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada Rasulullah, Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepadamu dengan keutamaanmu. Ya Allah peliharalah aku dari godaan syaitan yang terkutuk.[7]
6. Jangan mengangkat suara dengan kuat ketika memberi salam kepada Rasulullah ataupun semasa berada dalam masjid ini.
7. Diharamkan meminta sesuatu hajat ataupun permintaan untuk memberi manfaat atau menolak bahaya dari manusia yang telah wafat termasuk Nabi s.a.w.
8. Jangan menyentuh, mengusap atau mengucup mana-mana tempat dalam masjid Nabi s.a.w seperti dinding makam dan demikian juga terhadap masjid-masjid yang lain.
9. Jangan sengaja menjadikan makam Nabi ataupun Raudhah tempat mengadap dalam doa dan solat-solat yang dilakukan.
10. Jangan mengasak dan menolak jemaah lain semata-mata untuk mendapat tempat dalam Raudhah atau mana-mana mihrab kerana menyakiti orang Islam hukumnya haram.
11. Haram melintasi di hadapan orang yang sedang solat.
12. Elakkan dari melakukan solat di tengah jalan ataupun pada laluan orang lain. Sebaliknya pilihlah tempat yang tidak menyusahkan atau menghalang pergerakan manusia dalam masjid .
13. Memperbanyakkan ibadah dalam masjid seperti membaca al-Quran, berdoa, bertasbih, bertahmid dan berzikir dalam masjid ini.
14. Banyakkan bertaubat kepada Allah s.w.t semasa beriktikaf dalam masjid ini.
15. Jauhi berbual-bual kosong semasa berada dalam masjid.
16. Bagi kaum wanita, hendaklah mempastikan sentiasa menutup aurat semasa berada dalam masjid ini dan diluarnya. Jauhi memakai pakaian yang ketat, memakai bau-bauan dan bergurau senda dengan lelaki bukan mahram di tanah haram.
Rujukan:-
[1] Diserasikan dari kitab-kitab al-Fiqh al-Manhajiy 2/548 ( terj. Pustaka Salam ) , Fath al-Qadir 3/ 167-168, Fatwa-fatwa Haji & Umrah ( terj. Pustaka Imam asy-Syafi’iy ) , Madinah , Kelebihan Dan Sejarah oleh Dr Ab basit Ab Rahman
[2] Rujuk Tafsir Ibn Kathir , tafsir ayat ke 80 surah al-Isra` hlm 781.Penulis telah menghuraikan ayat ini dalam Kitab 101 Doa Para Nabi Dan Rasul, hlm 95, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, cet th 2006
[3] Adab pertama dan kedua diperolehi dari Kitab Fath al-Qadir 3/ 167-168 karangan Ibn al-Hamam al-Hanafi dalam Bab Ziarah Qabr al-Rasul
[4] Hadis Riwayat al-Bukhari 11/ 116 , Muslim no 763
[5] Sila rujuk keterangan lanjut tentang doa ini menerusi Kitab 101 Doa dari hadith-hadith sahih karangan penulis, bab Doa Menuju Ke Masjid
[6] Hadith Riwayat Abu Dawud no 466 , Sahih Abi Dawud no 441
[7] Hadith Riwayat Muslim no 713 , Ibn Majah no 773
No comments:
Post a Comment