"Sesiapa yang mana kebaikannya menggembirakannya dan kejahatannya tidak disukainya, maka dialah orang yang beriman. - (Hadith riwayat al-Tirmidzi – no. 2318, ia dinilai oleh al-Tirmidzi sebagai : hasan sahih)
Huraian:
Setiap dakwaan perlukan bukti dan setiap keadaan mempunyai tanda dan petunjuknya. Itulah ketentuan alam yang telah diletakkan asasnya oleh Allah SWT. Maka, jika anda beriman, apakah tandanya?
Hadith ini memberikan petunjuk dan tanda atau ukuran untuk anda menilai sejauh mana anda benar-benar beriman atau iman itu lemah. Hadith ini memberikan ukuran yang paling mudah dan ringkas untuk setiap yang mendakwa dirinya beriman agar dapat menyemak kembali sejauh mana kebenaran dakwaannya itu.
Jika anda merasai satu kelegaan dan ketenangan selepas melakukan sesuatu perkara yang baik, itu petanda anda beriman. Jika anda merasai satu penyesalan dan satu kegelisahan setelah terjebak melakukan sebarang dosa, ketahuilah bahawa anda beriman. Namun sekiranya anda merasai satu kepayahan setelah melakukan ketaatan dan merasai pula kelegaan setelah melakukan maksiat, ketahuilah bahawa iman anda mungkin berada pada tahap yang kritikal kerana ia bertentangan dengan apa yang dijelaskan di dalam hadith ini.
Walau bagaimanapun, keadaan begini yang silih berganti antara ketaatan dan maksiat menandakan bahawa iman itu sentiasa berkurang atau bertambah. Lakukanlah ketaatan demi ketaatan agar iman itu sentiasa kuat dan berkembang. Hindarilah sebarang maksiat sedaya mampu. Namun sekiranya anda tersilap langkah, segeralah sesali perbuatan itu dan bertaubatlah kepada Allah SWT. Itulah tanda anda benar-benar beriman!
Posted by : alitantawi
No comments:
Post a Comment