Maknanya, dalam kehidupan rumah tangga pasti akan berlaku perselisihan faham sama ada besar atau kecil. Perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan pergaduhan lebih besar sehingga sesetengahnya berakhir dengan perceraian.
Dalam hal ini, terkadang isteri bersikap agresif sehingga meninggi suara, membantah dan melawan kehendak suaminya tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak. Perkara ini disebut sebagai nusyuz yang juga boleh dikategorikan sebagai derhaka. Apabila ia berlaku, gugurlah hak isteri untuk mendapatkan nafkah sehinggalah dia bertaubat.
Bagaimanapun, hukuman nusyuz tidaklah sewenang-wenangnya terletak pada suami tetapi ia hendaklah dirujuk ke mahkamah supaya pihak wanita mendapat pembelaan dan tidak teraniaya.
Dalam pada itu, apabila menyebut nusyuz, ia kerap diletakkan kepada wanita semata-mata. Sebenarnya, nusyuz dibahagikan kepada dua iaitu nusyuz isteri dan nusyuz suami.
Di antara sebab berlakunya nusyuz pada pihak isteri ialah:-
1. Apabila disuruh menutup aurat dia enggan berbuat demikian.
2. Enggan tinggal serumah dengan suami.
3. Keluar rumah tanpa keizinan suami.
4. Enggan menunaikan kewajipan sebagai seorang Islam, seperti mendirikan solat dan sebagainya.
5. Menjauhkan diri daripada suami.
6. Enggan memenuhi kemahuan suami kecuali yang ditegah dan tidak mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada suami.
7. Tidak memelihara kehormatan.
8. Tidak menjaga amanah suami.
9. Tidak merahsiakan perhubungan suami isteri.
Di antara sebab berlakunya nusyuz di pihak suami pula ialah:-
1. Mengabaikan tanggungjawab dalam pemberian nafkah.
2. Mengabaikan penyediaan tempat tinggal yang sesuai.
3. Tidak memberikan perlindungan yang sewajarnya terhadap rumah tangga, isteri dan anak-anak.
4. Tidak memberikan nafkah kepada anak.
5. Tidak bertanggungjawab terhadap kesihatan isteri dan anak-anak.
6. Tidak memberi sepenuh kasih sayang terhadap anak dan isteri.
7. Melupakan tanggungjawab sebagai pemimpin kepada isteri bagi mendapatkan keredaan Allah.
8. Mengabaikan pelajaran dan didikan akhlak anak selaras dengan kehendak Islam.
9. Tidak memelihara kehormatan isteri.
10.Tidak memberi nafkah batin kepada isteri.
11.Apabila suami berkahwin lebih dari satu ia tidak berlaku adil.
Setiap yang akan berlaku pasti ada tanda-tandanya, begitu juga dengan nusyuz di mana ada tiga tahap:-
1. Tahap pertama (amara'), contohnya jika dulu isteri menjawab dengan suara yang lembut, "Yang, "Ya bang" kini jawapan itu berubah kasar. Jika dulu isteri menyambut kepulangan suami di muka pintu atau segera dibukakan pintu pagar tapi kini tidak lagi.
2. Pada tahap kedua (shiqa') pula, situasi berlaku apabila suami atau isteri diibaratkan seperti anjing dan kucing. Mereka seringkali bergaduh dan tidak boleh bertentang mata, manakala tingkah laku juga bertukar menjadi kasar, contohnya menghempas pintu atau apabila dipanggil tidak menjawab. Apabila berada pada tahap ini tindakan yang bijak haruslah diambil jika tidak ia amat berbahaya. Ibarat api dalam sekam.
3. Pada tahap ketiga (dara') pula amat serius kerana membabitkan keganasan. Dalam keadaan berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment