Soalan:-
Saya minat membela kucing. Masalahnya mengenai mengkasi/mengkembiri/ atau memotong saluran peranakan terutama bagi jantan. Alasannya untuk mengelak kucing jantan kencing merata-rata dalam rumah kerana sifat jantannya dan supaya kucing bertambah gemuk (InsyaAllah ada pemilik kucing paham). Soalan saya, adakah boleh, dengan syarat menjaganya sebaik-baik mungkin kerana tiada niat kita menzaliminya tetapi teman hidup kita untuk dijaga dalam rumah dan menjaga kebersihan.
terima kasih.
Jawapan:-
Terima Kasih di atas soalan tersebut dan kami kira soalan seperti ini juga merupakan satu perkara yang amat penting kepada golongan muslimin , lantaran ramai juga di kalangan mereka yang menternak haiwan dan tidak kurang juga yang mempunyai hobi membela kucing.
SECARA UMUMNYA , Mengembiri binatang ternakan menurut Imam Abu Hanifah (rh) – Pengasas Mazhab Hanafi – tidaklah menjadi satu kesalahan di sisi syarak , kerana ianya boleh menghasilkan binatang ternakan yang gemuk isinya lagi baik mutu dagingnya. Dan daging seperti ini yang menjadi pilihan, khasnya bagi mereka yang hendak mencari haiwan ternakan untuk aqiqah ( khasnya kambing ). Imam Malik Bin Anas (rh ) – Pengasas Mazhab Maliki – hukumnya adalah harus, kecuali pada KUDA, kerana tindakan mengembiri seseekor kuda akan menyebabkannya lemah dan tidak boleh menghasilkan anak.
MASALAH MENGEMBIRI KUCING :
Menurut sebuah hadis Baginda Rasulullah s.a.w , daripada riwayat Saidina Abdullah Bin Saidina ‘Umar Al-Khattab (r.a ) mengisahkan bahawa pernah seorang wanita disenaraikan sebagai ahli neraka disebabkan dia pernah mengurung seekor kucing dan tidak pula dibenarkan keluar merayau-merayau untuk mencari makanannya sendiri yang menyebabkan akhirnya kucing itu mati kelaparan. ~ Hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari (rh) dan Imam Muslim (rh).
Manakala menurut riwayat lain pula, ada seorang wanita yang menjadi seorang pelacur telah memberi makanan kepada seekor anjing yang kelaparan. Maka dengan perbuatan itu, melayakkan dia menjadi salah-seorang penghuni syurga kelak.
Hadis/kisah ini sekaligus memberikan ancaman kepada setiap penternak / yang memelihara seekor binatang, supaya menjaga haiwan-haiwan ternakan / peliharaan mereka sebaik mungkin. Ini disebabkan segala tindak-tanduk kita akan dipersoalkan di hadapan Tuhan Yang Maha Adil, Allah Ta’ala di mahkamah padang mahsyar kelak.
Dan di antara ciri-ciri menjaga kebajikan haiwan-haiwan itu ialah memberi makanan – minuman , perlindungan , ubat-ubatan dan seumpamanya kepada haiwan-haiwan tersebut. Mengembiri binatang termasuk di dalam kategori memberikan ubat-ubatan yang disebutkan di atas.
Adapun tindakan mengembiri seekor kucing jantan, jika ianya memang telah diakui KEBENARANNYA ( boleh menyebabkan ia bertambah sihat dan gemuk serta tidak kencing merata-merata ) oleh pakar perubatan haiwan yang diyakini kejujurannya ( Islamnya ) dan disahkan pula menurut kepakaran mereka di dalam bidang perubatan haiwan , maka tidak ada halangannya menurut agama kita.
Yang dilarang ialah berbuat zalim kepada haiwan – yang mana ia juga termasuk di dalam kategori makhluk Allah Ta’ala – dan apatah lagi kepada sesama manusia, yang merupakan makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia di alam jagat ini.
Larangan melakukan kezaliman dan menimbulkan bencana ini dijelaskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:- "Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh juga menimbulkan bahaya" ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Malik (rh) , Imam Al-Hakim (rh) , Imam Ibnu Majah (rh) , dan Imam Daruquthni
No comments:
Post a Comment