Soalan:
Pernah makan strepsil? Cuba tengok ingredient, ada alkohol, kan? Boleh ke makan strepsil ni untuk sakit tekak?
Jawapan:
Bukan sekadar strepsil sahaja, ubat lain pun ada alkohol. Seorang ahli farmasi yang sudah bertahun-tahun menceburi bidang ini memberitahu bahawa alkohol dalam ubat-ubatan tidak sama dengan alkohol dalam minuman arak. Alkohol dengan pelbagai jenisnya memang digunakan dalam banyak ubat.
Masalah makanan yang mengandungi alcohol , adalah merupakan perkara biasa dan telah lama dibahaskan oleh para alim ulama , khususnya dalam mujamma’ al-fiqhi al-Islami. Ini kerana alkohol mempunyai manfaat yang banyak dalam industri pembuatan makanan. Walaubagaimanapun terdapat garis panduan yang telah disepakati dan perlu diikuti oleh umat Islam dalam menggunakan alkohol. Jenis alkohol yang boleh digunakan ialah alkohol Ethyl yang juga digunakan dalam perubatan.
Terdapat beberapa jenis makanan yang menggunakan alkohol , sepertimana berikut :
Jus buah-buahan , susu pekat , zabadi ( susu masam yang popular di tanah arab ),tepung yang telah diuli dan diletakkan ragi ( makanan segera seperti kuih muih segera ) , dan sebagainya. Jenis-jenis makanan dan minuman seperti ini adalah mengandungi kurang daripada 0.5% kandungan alkoholnya. Maka jenis seperti ini adalah halal dan harus digunakan disisi syarak.
Terdapat juga jenis makanan atau minuman yang menggunakan alkohol untuk mencairkan beberapa bahan yang digunakan untuk membuat makanan atau minuman tersebut seperti pewarna , bau-bauan makanan dan sebagainya , yang mana bahan-bahan tersebut tidak boleh cair dengan menggunakan air, maka alkohollah digunakan. Satu contoh terbaik minuman yang menggunakan kaedah ini ialah minuman coca cola , pepsi dan mirinda. Kesemua minuman tersebut menggunakan bahan pewarna yang dicairkan dengan kaedah alkohol. Nama pewarna tersebut ialah Beta Carotene. Kaedah pencairan ini mengguna pakai kandungan alkohol dalam nisbah penggunaan sebanyak 0.2 – 0.3% sahaja dan ini juga menurut hukum syarak adalah dibolehkan.
Seperti mana kenyataan / fatwa yang dikeluarkan oleh Muktamar fiqh (Perubatan) yang bersidang di Kuwait pada Mei 1995 : “Sesungguhnya penggunaan alkohol dalam industri pembuatan makanan dan minuman untuk tujuan mempercepatkan proses pertumbuhan makanan atau minuman ( seperti ragi ) dan untuk proses pencairan bahan-bahan untuk kegunaan pembuatan makanan dan minuman tersebut adalah dibolehkan atas dasar al-umum al-balwa.”
Walaupun begitu terdapat juga jenis-jenis makanan dan minuman yang menggunakan alkohol jenis memabukkan dengan tujuan untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap dan membuatkan orang ramai merasa ketagihan selepas makan atau minum bahan tersebut. Ianya banyak terdapat dalam beberapa jenis aiskrim , manisan , sebahagian coklat , minuman bergas dan sebagainya.
Proffessor Muhammad Abd Salam dalam bukunya “Musykilah Istikhdam al-Mawad fi al-Muntajat al-Ghazaiyah” m/s 6 menyebutkan : Penambahan ahkohol jenis tersebut sengaja dilakukan pada sebahagian besar jenis makanan dan minuman dengan tujuan untuk mendapatkan rasa yang tertentu dan terbaik supaya pengguna merasa ketagihan dan menyukai makanan atau minuman tersebut.
Maka penggunaan alkohol ini , dengan jelas tidak dibolehkan malah diharamkan dalam Islam. Ini kerana penyebab utamanya ialah alkohol yang diletakkan adalah dari jenis alkohol yang digunakan dalam pembuatan arak dan alkohol jenis ini adalah diharamkan penggunaannya secara mutlak oleh ulama sebagaimana kata Ibnu Hazm dalam “Al-Muhalla” (1 / 135 ) : Telah sepakat ahli Ilmu dan para ulama bahawa sekiranya arak dicampurkan ke dalam makanan atau ubat-ubatan samada cecair atau pepejal , ianya tidak ternyah ( terhapus ) , bahkan kesan dari segi warna , bau dan rasa masih lagi wujud pada makanan atau ubatan tersebut dan ianya akan merosakkan makanan dan ubatan tersebut. Maka penggunaannya tetap haram disisi syarak.
Begitu juga kenyataan Muktamar Fiqh (Perubatan) yang bersidang di Kuwait ( Mei 1995 ) menyebut : “Tidaklah boleh malah diharamkan kepada umat Islam menggunakan sebarang bentuk makanan dan minuman yang mengandungi kandungan arak walaupun nisbah yang sedikit , lebih-lebih lagi makanan-makanan dan minuman yang terdapat atau dibuat di Negara Eropah (Barat) , berdasarkan kepada panduan syarak bahawa , apa-apa sahaja yang dibuat daripada arak dan memabukkan samada sedikit atau banyak tetap haram”
Maka secara kesimpulannya , penggunaan alkohol Ethyl ( kimia ) dengan nisbah yang sedikit adalah dibolehkan dalam pembuatan makanan dan minuman serta umat Islam boleh makan dan minum makanan atau minuman tersebut.
WA
Maraji’ :
1.Proffesor Muhammad Abd Salam “Musykilah Istikhdam al-Mawad fi al-Muntajat al-Ghazaiyah” , Muassasah Kuwait lit Taqaddam al-Ilmi , 2003
2.Majjalah Dauriah Muhakkamah , Al-Mujjamma’ al-Fiqhi al-Islami , bil 13
No comments:
Post a Comment