Soalan:-
Saya ingin bertanya apakah hukum memakai minyak rambut jenis “wax”. Adakah sah jika mengambil wudhu’ ketika memakainya? Saya juga agak keliru dengan hukum “terhalang air dari terkena kulit dan rambut” ketika mengambil wudhu’ misalnya jika tangan seseorang terkena dakwat pen atau gris. Saya berharap agar hal ini dapat dijelaskan dengan lebih terperinci.
Jawapan:
1) Memakai minyak rambut, tidak menjejaskan wudhu’ kerana yang dituntut dalam berwudhu’ ialah menyapu kepala, bukannya membasuh kepala. Firman Allah: “…dan sapulah pada kepala kamu”. (Al-Maidah: 6).
Dimaklumi dalam bahasa Arab, bahawa ada beza antara basuh dan sapu. Untuk sapuan, tidak disyaratkan meratakan air pada keseluruhan anggota. Tetapi memadai dengan menyapu anggota dengan tangan yang dibasahi air.
2) Permasalahan anggota wudhuk terkena bahan-bahan seperti dakwat pen, minyak dan lain-lain, sekiranya bahan-bahan itu jenis tidak telus air seperti cat, lilin, minyak gris, maka tidak sah wudhuk tersebut. Mesti dihilangkan terlebih dahulu. Kerana selagi terdapat bahan-bahan tersebut pada anggota wudhuk, bererti basuhan anggota itu tidak sempurna.
Nabi SAW pernah memerintahkan sahabat yang tidak meratakan basuhan kaki sekadar satu dirham supaya mengulangi wudhuknya dan solatnya. Direkod oleh Abu Daud (no: 175). Sanadnya dinilai jayyid (baik) oleh Imam Ahmad. (Tanqih al-Tahqiq 1/30).
Tetapi sekiranya ia daripada jenis bahan yang telus air, maka tidak menjejaskan wudhuk. Contohnya dakwat pen, inai, celak dll.
Wallahu A’lam
No comments:
Post a Comment