Antara adab dan tata tertib melawat orang sakit, orang yang hampir meninggal dunia atau sudah meninggal dunia ialah seperti diterangkan oleh hadis dan 'Athar' (kata-kata sahabat).
• Daripada Ummi Salamah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila kamu menziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya malaikat mengucap 'Amin' terhadap apa-apa yang kamu katakan itu."
-(Hadis riwayat Muslim)
• Daripada Ibn Abbas, katanya: "Antara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi ialah memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising ketika melawat orang sakit."
Ibn Abbas berkata lagi: Rasulullah bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (ketika mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua, tinggalkan daku!"
- (Hadis riwayat Razin)
• Daripada Jabir, bahawa Rasulullah bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah segera meninggalkan orang sakit itu." (Dailami dalam Musnah al-Firdaus)
• Daripada Abu Said al-Khudri, katanya: Aku ada mendengar Rasulullah bersabda: "Sebutlah kepada orang kamu yang hendak mati 'Lailahaillallah' kerana sesungguhnya tidak ada seseorang hamba Allah yang diberikannya kemudahan mengakhiri keadaannya dengan kalimah itu ketika dia hampir mati, melainkan kalimah itu menjadi bekalannya ke syurga."
-(Hadis riwayat Muslim)
• Daripada Ummi Salamah, katanya: Rasulullah menziarahi Abu Salamah ketika matanya terbuka. Lalu Nabi menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila diambil oleh malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)."
Mendengar perkara itu, sebahagian keluarga Abu Salamah menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka. Lalu Baginda bersabda lagi: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara baik, kerana malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa-apa yang kamu katakan - baik atau buruk."
Kemudian Baginda berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang yang mendapat hidayah petunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkan bagi kami dan baginya Ya Rabbal Alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
- (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas menyebut bahawa mereka yang menziarahi orang sakit dituntut supaya berkata atau menyebut perkara baik saja. Ulama ada menerangkan bahawa antara kata-kata baik itu ialah menghiburkan hati orang sakit dengan menyatakan sakitnya ringan dan akan sembuh.
Janganlah tinggal terlalu lama ketika melawat kerana pesakit mungkin jemu atau ingin berehat. Ketika menziarahi orang yang hampir mati disunatkan disebutkan kepadanya kalimah 'Lailahaillallah'.
Saidina Umar bin al-Khattab berkata: "Hadirlah di tempat orang yang hampir mati dan ingatkanlah mereka akan kalimah Lailahaillallah kerana mereka nampak apa-apa yang kamu tidak nampak."
Mengikut keterangan ulama, selepas orang yang hampir mati turut menyebut kalimah itu, maka janganlah orang yang hadir di sisinya menyebutnya lagi, kecuali orang yang hampir mati itu menuturkan kata-kata lain. Maka, hendaklah diulangi sebutan kalimah itu kepadanya.
Tujuan menyebutkan kalimah 'Lailahaillallah' itu kepadanya supaya jangan ada sesuatu dalam ingatannya selain daripada mengakui keEsaan Allah pada saat matinya.
Selepas orang itu menghembuskan nafasnya yang akhir, maka selain daripada sunat menutup matanya, dituntut pula supaya melembut-lembutkan sendi-sendinya yang keras kaku seberapa yang boleh. Mengikat dagunya ke kepala supaya tertutup mulutnya.
Juga dituntut mendoakan si mati dan keluarganya supaya mereka beroleh kebaikan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment