Daripada Abu Hurairah telah berkata : Sabda Rasulullah s.a.w yang ertinya :
"Sesungguhnya Allah itu Maha Baik tidak menerima melainkan sesuatu yang baik. Dan Sesungguhnya Allah telah memerintah para orang yang beriman sama dengan apa yang telah Dia perintah dengannya terhadap para rasul. Maka firmanNya yang ertinya : Wahai Rasul-Rasul, Makanlah kamu daripada makanan yang baik (halal)...dan firmanNya lagi yang ertinya : Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah kamu daripada makanan yang baik apa yang dianugerahkan kepadamu(halal). Kemudian Rasulullah s.a.w menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami mau mengabulkan doanya."
- Riwayat Imam Muslim -
Keterangan ringkas:-
1. Ketika berdoa maka sebutlah nama-nama Allah yang baik dan cantik kerana Allah begitu menyayangi mereka yang menyebut nama-namaNya. Malah sesiapa yang menghafal dan menghayati nama Allah yang 99, maka dijanjikan balasan Syurga.
2. Tidak boleh memberi sedekah perkara yang haram atau tidak elok kerana telah diriwayatkan dalam satu hadis Sohih yang bermaksud : "Allah tidak akan menerima sembahyang tanpa bersuci dan Dia tidak menerima sedekah daripada perkara yang tidak elok (sumber atau bendanya)".
3. Kita dapat lihat bagaimana Allah menerima korban Habil berupa seekor kibas yang gemuk dan sihat serta Dia menolak korban Qabil yang berupa gandum yang tidak elok.
4. Ibnu Abbas menerangkan bagaimana Allah tidak akan menerima sembahyang seseorang yang mana di dalam tubuhnya ada perkara yang haram.
5.Walau pun seseorang yang bermusafir dengan niat yang elok merupakan jihad dan doa orang yang musafir mudah dikabulkan oleh Allah tetapi jika dia dibesarkan dengan makanan, minuman atau pakaian yang haram maka doanya akan ditolak oleh Allah.
6. Imam Syafie sendiri pernah pada suatu hari mengadu kepada gurunya tentang beliau susah mengingati dan memahami apa yang dipelajari sedangkan sebelum ini tidak pernah berlaku perkara demikian. Lalu gurunya meminta agar beliau menjauhi perkara yang haram dengan kata-katanya : "Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak akan dianugerahkan kepada orang yang berbuat maksiat." Mendengar jawapan gurunya, lalu Imam Syafie pulang ke rumahnya dan bertanya adakah beliau telah diberi makan atau minum perkara yang haram. Lalu ibunya teringat bagaimana dia telah memberi minum air susu yang diperah daripada seekor kambingnya yang telah memakan tanaman jirannya tanpa sengaja. Inilah kesan buruk daripada perkara haram atau syubhat.
7. Antara perkara yang menghalang daripada dikabulkan doa seseorang ialah sebagaimana berikut :
a. Doa orang yang zalim
b. Doa orang yang sentiasa melakukan dosa
c. Doa orang yang memutuskan tali persaudaraan
d. Doa orang yang dilumuri dengan maksiat
e. Doa tanpa sebab yang dilakukan sambil lewa
8. Setiap muslim yang memanjatkan doanya kepada Allah dengan bersungguh, maka akan dikabulkan oleh Allah dalam 4 keadaan iaitu :
a. Samada dikabulkan secara segera
b. Dikabulkan setelah melalui masa yang lama
c. Dikabulkan di akhirat nanti dengan digandakan pahala
d. Atau diampuni dosanya
Rujukan :
1. Abdul Wahab Rashid Salleh Abu Sofiayyah, Syarah al-Arba'in al-Nawawiah, Dar al-Basyir, cet. ketiga 1995
No comments:
Post a Comment