Soalan:-
Apakah hukum memakan ketam batu? Haram atau makruh?
Jawapan:-
Apa yang ditanya adalah perihal binatang 2 alam. Setakat pencarian saya, tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang 2 alam itu haram di makan.
Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yang masyhur dalam mazhab Syafie sepertimana dinukilkan oleh kitab-kitab an-Nawawi; Imam Rafi’iy dan al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanbali.
Mereka yang mengatakan binatang 2 alam ni haram di makan berdasarkan hadis berikut:
Dr Abdur Rahman ibn Utsman menerangkan, “Di hadapan Rasulullah saw seorang tabib memperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yang dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah saw melarang kita membunuh katak itu.”[HR Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I]
Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kepada yang hidup sepertimana katak.
Sabdanya lagi, “Airnya,(iaitu laut) menyucikan dan halal bangkainya.” Hadis di atas merujuk kepada hidupan laut. Adapun binatang 2 alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat.
Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa 2 alam itu haram di makan.
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…..”[5:3]
Di samping itu terdapat juga beberapa hadis yang menjelaskan ayat di atas iaitu:
Rasulullah saw bersabda, “Dihalalkan untuk kita 2 jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”
Ulama’ mengqiaskan ikan itu kepada segala jenis hidupan laut yang hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.
Walaupun begitu, perlu kita ketahui bahawa dalam Islam, bahawa asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nas yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’ yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nas yang sahih – seperti ada nas tetapi dengan hadis dha’if – atau nas berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.
Daripada Abi Darda’, Rasulullah saw bersabda, “Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.”(Maryam: 64) (HR Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik).
Maka, berdasarkan dalil yang dipakai oleh mereka yang mengatakan binatang 2 alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satu pun yang khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yang paling hampir ialah mengenai katak. Tetapi berdasarkan kaedah yang telah diutarakan, kalau kita menerima hadis ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kepada semua yang hidup 2 alam itu tidak tepat. Sekiranya kita menerima pendapat haramnya binatang 2 alam, mengapa pula kita boleh memakan ketam/kerang yang pada biasanya dijual di pasar dalam keadaan hidup? Bukankah itu membuktikan binatang ini mampu hidup di atas darat?
Pendapat yang kuat ialah secara umumnya, binatang 2 alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenal pasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kepada firman Allah swt:
“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” (al-Baqarah: 168)
“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; kerana sesungguhnya dia itu kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih.” (al-An’am: 145)
Dari ayat di atas, illat kepada keharaman bangkai, darah yang megalir, babi adalah kotor. Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kepada apa-apa binatang yang mempunyai illat yang sama dengannya iaitu kotor. Sebagai contoh, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, kita perlu ingat, kadang-kadang uruf dari satu tempat ke satu yang lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat Malaysia, binatang itu menjijikkan, tetapi pada masyarakat China tidak pula.
Maka, kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan dalam nas yang mengatakan ianya haram, itulah haram. Yang tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Tetapi jangan pula kita menjadi pelik jika ada org yang memakannya di negara lain.
Rujukan:-
Fiqh & Perundangan Islam
Dr Wahbah al-Zuhaily
Koleksi Hadis2 Hukum
TM Hasbi
Al-Halal wal-Haram fi Islam
Dr Yusuf al-Qaradhawi
No comments:
Post a Comment