Soalan:-
Adakah bulu kucing, bulu unta serta bulu binatang-binatang lain dikira sebagai najis? Dan adakah perlu kepada kita untuk memperbaharui wuduk apabila tersentuh bulu yang telah terpisah daripada badan kucing tersebut? Adakah ia dikira sebagai bangkai?
Kalau boleh, ustaz sertakan dengan dalil sekali. Terima Kasih.
Jawapan:-
Masalah bulu binatang ini ada dibincangkan oleh para ulama. Kalau bulu haiwan bangkai(sama ada haiwan yang tidak disembelih atau haiwan yang tidak boleh dimakan selain anjing dan babi), ada perselisihan pendapat ulama berkenaannya.
Berbalik kepada soalan anda, ada dua kategori, bulu kucing dan bulu anjing. Jika bulu unta, ia adalah suci sebagaimana ijmak yang dinukilkan oleh al-Nawawi.
Kata al-Nawawi (al-Majmuk 1/241) : “Apabila dicabut bulu atau suf (bulu untuk biri-biri) atau wabar (bulu untuk lembu) dari haiwan yang boleh dimakan, maka ia suci berdasarkan nas al-Qur’an dan ijmak Ummah”.
Manakala masalah bulu kucing, ini ada khilaf di sisi ulama. Di sisi mazhab Syafie, ia adalah najis. Ini juga adalah pendapat Ata’. Di sisi Malik, Ahmad, Ishaq dan Al-Muzani, mereka membezakan antara tulang, tanduk, gigi, kuku dan antara bulu (sama ada bulu seperti burung, kambing dll). Mereka mengatakan tulang atau tanduk adalah najis, manakala bulu adalah suci.
Ada pendapat dari Malik, Abu Hanifah dan Ahmad semuanya adalah suci yakni bulu dan tulang. (Sila rujuk al-Majmuk li al-Nawawi 1/236)
Pendapat yang lebih dicenderungi kebanyakan ulama, ia adalah suci. Ibn Qudamah berpendapat jika haiwan itu najis, maka bulunya najis. Sebaliknya jika suci, maka bulunya juga suci.
Berkata Ibn Qudamah : “Dan setiap haiwan, maka bulunya seperti baki bahagiannya yang lain, apa yang suci maka bulunya turut suci, dan apa yang najis maka bulunya juga begitu (najis). Tiada beza antara ketika hidup atau mati”. (Al-Mughni 1/97).
Hujjah pendapat yang mengatakan bulu adalah suci (al-Nahl : 80) :-
MAKSUDNYA : “dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”
Bahkan menurut Ibn Taimiah, semua bulu adalah suci. Kata beliau dalam Majmuk al-Fatawa (5/51) : “Dan pendapat yang rajih ialah suci semua bulu selain keduanya (anjing dan babi).
Berbeza pula air liur.
Maka berdasarkan ini, jika bulu anjing lembap dan terkena baju seseorang, maka tidak ada apa-apa ke atasnya. Sebagaimana pendapat jumhur fuqaha’ Abi Hanifah, Malik dan Ahmad dalam salah satu riwayatnya. Hal ini kerana al-asl (asal) dalam benda-benda ialah suci, maka tidak harus menajiskan sesuatu atau mengharamkannya kecuali dengan dalil sepertimana firman Allah Taala (al-An’am 119) :
“padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya?.”
Oleh itu, bulu kucing atau unta, ia adalah suci dan jika terkena badan manusia ia tidak dianggap najis.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment