Soalan:-
Apakah alam Barzakh serta azab dan nikmat ketika berada di dalam kubur?
Dan apakah perkara yang boleh menghindarkan diri dari siksa kubur?
Jawapan:-
Alam barzkah ialah alam kehidupan selepas mati sementara menunggu tibanya kiamat. Firman Allah (bermaksud): “Dan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka akan tinggal menetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (iaitu pada hari kiamat)”.
- (Surah al-Mukminun, ayat 100)
Dari sudut bahasa, Barzakh bermakna sesuatu yang menjadi pemisah antara dua benda. Dinamakan alam selepas mati sebagai alam Barzakh kerana alam tersebut menjadi pemisah antara dua alam iaitu alam dunia dan alam akhirat.
Menurut Syeikh Abu Bakar al-Jazairi dalam bukunya ‘Aqidatul-Mukmin, alam Barzakh ini dapat diibaratkan sebagai alam perhentian dan penantian sementara menunggu tibanya akhirat bagi orang-orang yang telah mati dan berpisah dengan dunia. Di alam Barzakh ini ruh-ruh dihimpunkan hinggalah sampai masa berlakunya kiamat di mana ia akan dipertemu kembali dengan jasadnya.
Alam barzakh adakalanya disebut alam kubur. Namun dengan mengaitkan alam ini dengan kubur tidaklah bermakna hanya orang yang ditanam di dalam kubur sahaja akan menempuh alam Barzakh dan merasai nikmat atau azab di alam tersebut. Panggilan dengan nama alam kubur adalah merujuk kepada kebiasaan sahaja iaitu biasanya orang yang telah mati akan ditanam di dalam kubur. Namun banyak juga orang mati yang tidak ditanam di dalam kubur kerana mayatnya tidak dijumpai, mati terbakar dan menjadi abu, dimakan binatang buas dan sebagainya. Jadi, sama ada suatu mayat di tanam di dalam kubur atau tidak, ia pada hakikatnya telah berada di alam Barzakh dan berhadapan dengan segala peristiwa yang berlaku di alam Barzakh seperti soalan dari Munkar dan Nakir, nikmat bagi orang yang taat dan azab bagi orang kafir dan engkar dan sebagainya lagi.
Nikmat dan azab di alam barzakh
Di antara nikmat yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang taat semasa berada di alam Barzakh atau alam kubur ialah:-
1. Diluaskan kubur mereka sehingga 70 hasta dari segenap arah atau diluaskan sejauh mata memandang.
2. Disediakan untuk mereka hamparan dari syurga.
3. Dibukakan suatu pintu dari kubur mereka ke syurga.
4. Kubur mereka dipenuhi dengan bau-bauan yang harum dan wangi.
5. Dijadikan kubur mereka sebagai taman dari taman syurga.
6. Kubur mereka diterangi cahaya.
7. Didatangi oleh seorang lelaki yang elok rupanya dan harum baunya (iaitu jelmaan kepada amalan-amalan kebaikan mereka semasa di dunia).
Adapun azab pula, di antaranya ialah:-
1. Penghuni kubur didedahkan kepada bahang api neraka setiap hari iaitu di waktu pagi dan petang.
2. Dihampari kubur dengan hamparan dari api neraka.
3. Kubur disempitkan hingga saling bersilang tulang-tulang rusuk.
4. Didatangkan 99 ekor ular yang berbisa dan menggerunkan.
5. Didatangi seorang lelaki yang buruk wajahnya dan berbau busuk (iaitu jelmaan kepada amalan-amalan kejahatan di dunia dulu).
Sabda Rasulullah s.a.w: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyiksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuk/menyengatnya hingga berdirinya kiamat. Jika sekiranya seekor sahaja dari ular-ular itu meniupkan bisanya ke bumi nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi)”.
- (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Said al-Khudri r.a.)
Bagaimana menghindari azab kubur?
Untuk menghindari azab kubur, kita hendaklah menjauhi punca-puncanya. Punca azab kubur ada yang bersifat umum dan ada yang bersifat khusus. Punca yang bersifat umum ialah kerana melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.
Syeikh Ahmad Farid di dalam bukunya “al-Bahr ar-Raqaiq Fi az-Zuhd wa ar-Raqaiq” menjelaskan; “Azab di dalam kubur dan azab di akhirat merupakan kesan dari kemurkaan dan kemarahan Allah ke atas hambanya. Maka sesiapa yang mendatangkan kemurkaan Allah dan kemarahanNya semasa hidupnya di dunia, kemudian ia tidak bertaubat dan ia mati dalam keadaan tersebut, maka akan diberikan kepadanya dari azab kubur bergantung kepada sedikit atau banyak dosa yang ia lakukan”.
- (halaman 284).
Adapun punca yang bersifat khusus, antara yang pernah disebut oleh Nabi ialah:-
1. Suka mengadu domba iaitu memperlaga-lagakan sesama muslim.
2. Tidak menjaga diri dari najis (terutamanya air kencing). “Kebanyakan azab kubur dari kerana kencing”.
- (Hadis soheh, riwayat Ahmad, dari Abu Hurairah r.a.).
3. Meninggalkan solat.
4. Tidak mengeluarkan zakat.
5. Berzina.
Selain itu ada amalan-amalan khusus yang disebut oleh Nabi s.a.w. dapat menjauhkan kita dari siksa kubur, antaranya:-
1. Melazimi membaca surah al-Mulk. Sabda Nabi: “Surah Tabarak (yakni al-Mulk) adalah penegah/penghalang dari azab kubur”.
- (Hadis soheh, riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas r.a.).
2. Selalu berdoa dan memohon perlindungan dari Allah dari azab kubur terutamanya di hujung solat. Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila seseorang dari kamu telah selesai membaca tasyahhud akhir, maka mintalah perlindungan dengan Allah dari empat perkara dengan berdoa; “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab api neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah/ujian ketika hidup dan mati, dan dari kejahatan fitnah Dajjal”.
- (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. ‘Aqidatul-Mukmin, Syeikh Abu Bakar a;-Jazairi.
2. Al-Asas fi as-Sunnah wa Fiqhuha (Qismul-‘Aqaid), Syeikh Said Hawa..
3. Al-Bahr ar-Raqaiq Fi az-Zuhd wa ar-Raqaiq, Syeikh Ahmad Farid.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment