Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud sandaran/tambahan. Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;
1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).
2. Bersalaman selepas solat fardhu.
3. Membaca tahlil beramai-ramai.
4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.
5. Tambahan Saidina dalam selawat.
6. Membaca Yaasin malam jumaat.
7. Berpuasa nisfu Syaban
8. Himpunan matsurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.
Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan:-
Pertama:-
Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.
Kedua:-
Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah. Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan sebagainya.
Berkata Imam Syafi’ie:- “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis:-
1. Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.
2. Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela.
Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah dilakukan sebelumnya…”.
Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”.
Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya. Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul al-‘Isyrinnya;
“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar”.
“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran berdasarkan dalil dan bukti”.
Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bid’ah yang diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama itu…”.
*** والله أعلم بالصواب***
Akhukum,
Us. Ahmad Adnan Fadzil,
Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,
Changlun, Kedah.
Bacaan dan rujukan
1. Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, Dar al-I’tisham, Qaherah-Mesir (1989)
2. Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah-Mesir (1990).
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, Imam an-Nawawi, Muassasah al-Mukhtar, Qaherah-Mesir (2001)
4. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, al-‘Allamah al-Minawi, Dar al-Fikr (tanpa tarikh).
5. Al-Asybah wa An-Nazair Fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh asy-Syafi’iyyah, Imam as-Suyuti, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan.
6. Taghyir an-Munkar Baina al-Ifrat wa at-Tafrit, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Syirbin-Mesir (1991).
7. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).
8. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1996)
9. Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Qaherah-Mesir (1992).
No comments:
Post a Comment