Soalan:-
Setelah diyakini haid sudah berhenti, saya terus mandi wajib. Tetapi selepas mandi, hari keesokannya haid masih keluar lagi. Bagaimana status ibadah saya waktu itu? Dan bagaimana menentukan waktu terbaik untuk mandi wajib. Sebelum ini, saya memastikan selepas 2 waktu sembahyang haid tidak keluar, saya akan mandi wajib selepas itu.
Jawapan:-
Ibadah yang dilakukan ketika masih ada haid itu tidak sah. Walau bagaimanapun puan/saudari tidak lah berdosa kerana melakukan ibadah ketika haid kerana hal tersebut bukan disengajakan, tetapi kerana sangkaan bahawa haid telah habis. Jika puan/saudari berpuasa semasa masih ada darah haid itu, puasa puan/saudari terbatal dengan sendirinya sebaik menyedari darah haid masih ada.
Adapun bagaimana caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis; apabila puan/saudari merasakan darah haid puan/saudari habis, lakukan pemeriksaan terhadap faraj terlebih dahulu sebelum mandi, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak.
Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah puan/saudari mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, janganlah puan mandi lagi kerana darah haid belum habis.
Kaedah ini diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu-kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”
- (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Haidh Wa an-Nifas, Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 39.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Terima kasih! Sangat membantu saya.
ReplyDeleteSalam Anonymous,
ReplyDeleteAlhamdulillah dapat berkongsi ilmu.
sangat membantu... selama ni ingat asal dia berubah warna... rupanya kena putih kapas yer..
ReplyDeleteSalam Anonymous
ReplyDeleteAlhamdulillah, Ustaz Ahmad telah menerangkan dengan lebih jelas untuk pengetahuan kita bersama.