Soalan;
Bagaimana caranya untuk qadha puasa yang ditinggalkan untuk beberapa tahun yang lepas? Apakah perlu dibayar fidyah sahaja atau perlu juga puasa?
Jawapan;
Puasa yang ditinggalkan pada masa yang lalu, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia wajib diqadha; satu hari ditinggalkan diganti satu hari juga. Kecuali jika seseorang itu tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Yang ada khilaf ialah jika puasa yang dtinggalkan itu telah melepasi tahun (yakni telah memasuki Ramadhan baru) namun masih belum diqadha lagi; adakah diwajibkan qadha puasa sahaja atau diwajibkan juga fidyah bersama puasa. Ada dua pandangan ulamak:-
Pertama:- Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; memadai dengan qadha/ganti dan mohon ampun sahaja. Tidak ada sebarang denda dalam bentuk fidyah sekalipun telah menjangkau tahun kerana tidak ada nas al-Quran mahu pun as-Sunnah yang soheh menyebutnya. Pandangan ini ditarjihkan oleh Mufti Mesir sekarang ini (Dr. Ali Jum'ah Muhammad). Pandangan inilah lebih ringan diamalkan berbanding pandangan kedua nanti.
Kedua:- Menurut jumhur ulamak (mazhab Imam Malik, Syafi'ie dan Ahmad), puasa yang masih belum diganti sedangkan telah masuk Ramadhan yang baru, hendaklah dibayar fidyah di samping qadha puasa. Bagi sehari puasa yang belum diganti, maka satu fidyah yang mesti dikeluarkan. Itu bagi orang yang sengaja melewat-lewatkan qadha puasanya tanpa sebarang keuzuran hingga tiba Ramadhan yang baru. Fidyah itu adalah sebagai kaffarah ke atas kelalaiannya. Adapun jika kerana keuzuran contoh seperti ia terlantar di hospital selama 11 bulan dan tidak mampu berpuasa sepanjang tempoh sakit itu, tidaklah wajib atasnya membayar fidyah. Memadai dengan ia mengqadha puasa sahaja.
Menurut mazhab Syafi'ie, jumlah fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun yang dijangkaui. Jika menjangkaui setahun sahaja, hanya satu fidyah yang perlu dikeluarkan bagi satu hari puasa yang belum diganti. Jika menjangkau tahun kedua, dua fidyah yang perlu dikeluarkan. Dan begitulah seterusnya. Adapun jumlah puasa yang perlu diqadha tidak bertambah.
Sebagai contoh, seorang ada puasa yang ditinggalnya 10 tahun lalu selama 5 hari, lalu hari ini baru nak diqadhanya. Maka jumlah hari puasa yang perlu diqadha ialah 5 juga. Adapun fidyah, bagi satu hari perlu dikeluarkan 9 fidyah. Bagi keseluruhan 5 hari ialah 45 fidyah (5 x 9). Namun menurut mazhab Imam Malik dan Ahmad; jumlah itu tidaklah bertambah. Hanya satu fidyah sahaja yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa walaupun berbilang tahun telah dijangkaui.
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2, hlm. 688-689.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.
3. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 206.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment