Apakah yang akan kita lakukan jika ditimpa sesuatu musibah? Misalnya ahli keluarga kemalangan, barang berharga dirompak, anak terlibat dengan dadah dan sebagainya.
Apakah yang akan kita perbuat ketika itu? Adakah kita akan mengambil sikap menceritakan kepada semua orang yang berjumpa kita? Adakah ketika itu pun kita pun mempamerkan sikap kecewa, tidak berpuas hati dan kesedihan atas apa yang telah berlaku. "Barang saya hilang.....anak saya terlibat dengan dadah..." dan sebagainya.
Sikap suka menceritakan kesusahan atau musibah yang menimpa diri secara tidak langsung memperlihatkan sikap kita memprotes takdir Tuhan. Apakah dengan sikap suka menceritakan kesusahan ini boleh menyelesaikan masalah? Sejauh mana kawan-kawan yang mendengar dapat menolong sedangkan mereka juga makhluk Allah yang juga banyak masalahnya.
Sekiranya kita ditimpa musibah, tempat yang paling baik kita mengadu ialah kepada Allah SWT. Kita bangun malam, bersolat tahajjud. Kemudian menangis dan merintih kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik tempat pengaduan. Kita mesti yakin Dia sahaja yang dapat menolong. Oleh itu, apabila ditimpa musibah, sebutlah seperti apa yang Allah firmankan di dalam Al Quran iaitu: "Orang-orang yang ditimpa musibah mengucapkan "INNALILAHI WA INNA ILAHI RAAJIUN" (Surah Al Baqarah : Ayat 156).
Nabi juga berpesan jika ditimpa musibah, supaya ditambahkan pula dengan doa: "Ya Allah, berikanlah kepadaku pahala dalam musibah ini, dan gantikanlah aku dengan yang lebih baik daripadanya".
Malangnya zikir ini disalah ertikan. Ramai dikalangan kita membaca zikir ini ketika diberitahu tentang kematian seseorang, sedangkan kita boleh membacanya apabila ditimpa musibah dalam bentuk lain.
Pernah Ummu Salamah yang telah tua (hampir 70 tahun) kematian suaminya Abu Salamah. Dia merasa sungguh sedih kerana terlalu sayang kepada suaminya ini. Siang dan malam matanya tidak boleh tidur. Tiba-tiba dia teringat suaminya pernah memberitahu, jika ditimpa sesuatu musibah, Nabi Muhammad SAW mengajarkan membaca zikir seperti disebutkan tadi. Ummu Salamah terus membacanya siang dan malam. Selepas habis edahnya, dia dilamar oleh Syaidia Abu Bakar r.a, tetapi ditolaknya.
Kemudian Ummu Salamah dilamar Syaidina Umar Ibni Al Khattab, namun dia menolak lamaran itu. Akhirnya Rasulullah menghantar orang untuk melamarnya, namun dia menolak dengan alasan sudah terlalu tua, ramai anak dan pencemburu orangnya. Namun Rasulullah tidak keberatan, maka berlangsunglah perkahwinan Ummu Salamah dengan manusia yang paling baik didunia sebagaimana permintaannya didalam zikirnya sebelum ini.
Oleh itu, sekiranya kita ditimpa musibah, bersabarlah dan redha disamping membaca zikir tadi. Yakinlah bahawa Allah sentiasa mendengar apa yang terlintas dihati kita dan sentiasa bersama kita.
Mutiara Kata: "Adalah lebih baik untuk mengetahui kelemahan & kegagalan sendiri daripada menuding kesalahan kepada pihak lain"
No comments:
Post a Comment