Soalan:-
Saya seorang pelajar IPTA dan tinggal di asrama. Saya mempunyai teman sebilik yang tidak solat. Saya dan teman yang lain sudah cuba menasihatkan dia tetapi tidak berkesan. Adakah saya dikira bersubahat kerana dosa yang dilakukan?
Jawapan:-
Hidayah taufik itu terletak di tangan ALLAH SWT. Kita hanya mampu memberi hidayah dilalah (petunjuk) sahaja. Firman ALLAH S.W.T:
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mampu memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi. Tetapi, ALLAH-lah yang Maha Berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. DIA jugalah yang lebih mengetahui siapakah yang sudah bersedia untuk menerima hidayah petunjuk.”
– Surah al-Qasas: 56.
Antara cara psikologi yang disarankan seperti takutkan dia dengan ancaman azab, kematian yang akan datang secara tiba-tiba dan sebagainya. Cuba bayangkan kepadanya, jika dia mati ketika sedang berbuat kemungkaran dan tidak solat. Apakah jawapan yang akan diberikan kepada ALLAH?
Ingatkan dia bahawa meninggalkan solat menyebabkan amal solehnya pada hari itu tertolak. Jadi, segala ibadah yang dilakukannya sama ada puasa, sedekah dan sebagainya tidak diterima sedangkan dosanya semakin bertambah.
Paling penting, kamu hendaklah sentiasa mencegah kemungkaran apabila melihatnya dan jangan berputus asa. Malah, kamu tidak dikira bersubahat selagi mencegah perbuatan itu walaupun dengan membenci perbuatan maksiat di dalam hati. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang melihat suatu kemungkaran, dia hendaklah mencegah dengan tangannya (kuasa). Jika tidak mampu, dia hendaklah mencegah dengan lidahnya (nasihat). Jika tidak mampu juga, dia hendaklah membenci perbuatan itu di dalam hatinya. Itulah cara orang yang teramat lemah imannya.”
– Hadis sahih riwayat Abu Daud dan al-Nasaai.
Ustaz Mohd Noor
No comments:
Post a Comment