Barang-barang kemas daripada emas suasa
Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.
Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu.
-(Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)
Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)
Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang laki-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:
“Haram di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa."
Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”
Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”
Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.
Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”
Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.”
- (Fatwa siri 4/86)
Barang-barang kemas daripada perak
Harus bagi perempuan memakai cincin, gelang, rantai, loket, anting-anting yang diperbuat daripada perak. Akan tetapi, barang-barang kemas seperti itu adalah dilarang bagi kaum laki-laki memakainya kecuali cincin. Tidak dilarang bagi laki-laki memakai cincin yang diperbuat daripada perak, bahkan hukumnya adalah sunat, kerana Rasulullah s.a.w. memakai cincin yang diperbuat daripada perak.
Kadar pemakaian perak yang diharuskan bagi perempuan adalah sebagaimana kadar pemakaian emas yang diharuskan bagi mereka.
Sementara bagi laki-laki, ukuran kadarnya ialah tidak melebihi daripada pandangan adat kebiasaan atau ‘urf. Dalam erti kata yang lain, jika pada pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu adalah banyak, maka itulah yang dilarang. Sebaliknya, jika menurut pandangan adat kebiasaan pemakaiannya itu tidak dikatakan sebagai berlebihan, maka ianya diharuskan.
- (Al-Majumu‘ 4/331, Mughni al-Muhtaj 1/392)
Bejana Emas Dan Perak
Para ulama fiqh telah sepakat menetapkan bahawa haram hukumnya bagi lelaki dan perempuan memakai atau menggunakan bejana yang diperbuat daripada emas dan perak seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu dan cawan. Termasuk maksud bejana itu juga pencelak mata, tempat pencelak mata, pencungkil gigi dan seumpamanya. Penggunaan yang dilarang itu tidak kira sama ada bagi tujuan sebagai alat untuk makan dan minum, tempat menyimpan ataupun semata-mata hanya untuk perhiasan tanpa digunakan.
Dasar ketetapan hukum haram memakai atau menggunakan barang-barang ini disandarkan kepada berbagai-bagai sumber hadis, antaranya sepertimana yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang minum (menggunakan) pada bejana daripada emas atau perak, maka dia hanya akan menggelegakkan di dalam perutnya api daripada neraka Jahannam.”
- (Hadis riwayat Muslim)
Termasuk juga yang diharamkan itu, memakai bejana yang di disadur dengan emas dan perak.
Namun begitu, tidak mengapa kalau perak dijadikan sebagai pematri atau penampal bejana yang pecah atau berlubang, jika tampalan itu kecil kerana keperluan atau hajat.
Memakai Sutera
Sutera ialah benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat iaitu ulat sutera.
Sutera hanya diharuskan bagi kaum perempuan sahaja. Sementara bagi kaum laki-laki, para ulama fiqh bersepakat mengatakan bahawa, memakai sutera bagi laki-laki adalah haram. Larangan memakai sutera bagi laki-laki itu meliputi sama ada untuk tujuan pakaian seperti baju, kain sarung, tali leher dan sebagainya, ataupun untuk tujuan selain daripada pakaian, iaitu seperti hamparan permaidani, bantal dan lain-lain.
Perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Huzaifah r.a., beliau berkata: Maksudnya: “Nabi s.a.w. melarang kami daripada minum dengan menggunakan bejana emas dan perak, menggunakannya untuk makan dan (melarang kami) daripada memakai sutera, pakaian yang ditenun daripada sutera dan (melarang kami) daripada duduk di atasnya”
- (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sutera yang dilarang bagi kaum laki-laki itu ialah sutera yang tidak bercampur dengan bahan yang lain (pure silk) ataupun sutera yang bercampur dengan bahan yang lain tetapi kadar suteranya lebih banyak daripada bahan yang lain itu.
Ukuran banyak dan sedikit sutera yang dicampur dengan bahan yang lain itu adalah dilihat kepada berat timbangannya. Oleh itu, jika sutera itu bercampur dengan bahan yang lain dan bahan suteranya lebih berat timbangannya berbanding dengan bahan yang lain, maka tidak boleh bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya. Jika suteranya lebih ringan timbangannya, maka diharuskan bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya. Jika kadar timbangan keduanya (sutera dan bahan yang bercampur dengannya) sama berat, maka mengikut pendapat yang shahih, diharuskan bagi laki-laki memakainya atau menggunakannya.
- (Al-Majmu‘4/320-323)
Sumber dari :- State Mufti's Office, Brunei Darussalam
No comments:
Post a Comment