Soalan:-
1. Bolehkan kita menqada puasa untuk ahli keluarga yang telah meninggal?
2. Saya tidak pasti selama berapa hari arwah meninggalkan puasa ketika masih hidup dan sejak bila dia tidak berpuasa. Bagaimankah harus saya menqadakan puasa tersebut untuk arwah?
3. Saya telah meninggalkan puasa kerana datang haid dan saya ingin menqada puasa yang telah saya tinggalkan. Bolehkan saya berniat qada untuk diri saya dan niat qada untuk arwah secara serentak "Sahaja aku qadha ramadhan untuk diri ku serta arwah datukku, fardhu atas aku kerana Allah Ta'ala"
4. Bagaimana pula dengan fidyah bagi orang yang telah meninggal? Bolehkan fidyah puasa saya dibayar serentak dengan fidyah arwah? Jika fidyah yang harus saya bayar ialah 1330 cupak beras untuk diri saya dan katakanlah fidyah arwah ialah 100 cupak beras untuk dirinya, bolehkan saya membayar serentak?
5. Adakah harus saya berniat untuk membayar fidyah? Jika ya, apakah niatnya?
Jawapan:-
1. Harus mengqadha puasa bagi pihak si mati kerana Rasulullah s.a.w. bersabda:-“Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya”
- (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.a.).
2. Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, berpuasalah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.
3. Dua ibadah yang mempunyai maksud dan tuntutan yang berbeza tidak harus disatukan di dalam satu perbuatan atau satu ibadah sahaja. Kerana itu dua puasa qadha tidak harus dilakukan bersekali, sebaliknya hendaklah diasingkan. Jadi, jika saudara ingin berpuasa untuk ahli keluarga yang meninggal, hendaklah saudara asingkan dari puasa qadha untuk saudara. Namun demikian, dari sudut pahala, ibadah yang dilakukan oleh seorang anak pahalanya akan diperolehi oleh bapa yang telah meninggal sekalipun si anak tidak meniatkannya untuk bapa.
4. Kedudukan fidyah juga sama seperti di atas.
5. Semua ibadah tidak sah melainkan dengan niat kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang masyhur:- “Sesungguhnya segala amalan dengan niat”
- (HR Bukhari dan Muslim).
Maka mengeluarkan fidyah juga wajib disertai dengan niat. Niat tempatnya ialah di dalam hati, yakni yang wajib ialah meniatkan di dalam hati bahawa beras (atau wang) yang dikeluarkan itu adalah fidyah (bagi si mati atau bagi diri sendiri). Adapun melafazkan dengan lidah, tidaklah wajib. Ia sunat sahaja menurut mazhab Syafi’ie dan kebanyakan ulamak berpendapat; tidak perlu lafaz lidah.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment