Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Tidak ada seorang pun yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya.”
- Riwayat Muslim
Huraian:-
1. Emas dan perak merupakan logam galian yang berharga yang banyak manfaatnya kepada manusia di mana manusia menjadikannya sebagai nilai tukaran wang bagi segala sesuatu.
2. Syariat Islam telah mewajibkan kedua-duanya (emas dan perak) digunakan dalam bentuk wang atau kepingan dan sebagai perhiasan wanita serta diwajibkan zakat ke atas pihak yang memilikinya apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.
3. Jenis emas yang diwajibkan zakat adalah emas yang tidak dipakai atau digunakan walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau melebihi 85 gram (nisab) maka wajib dibayar zakat sebanyak 2.5%.
4. Manakala emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
5. Manakala wajib zakat pada perak pula ialah sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gm.
No comments:
Post a Comment