Soalan:-
Saya ingin tahu apakah amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika haid dan adakah masih boleh membaca ayat al-Quran ketika uzur?
Jawapan:-
Dibolehkan bagi wanita yang didatangi haid berdoa, berzikir berpandukan zikir-zikir yang disyariatkan dan juga membaca al-Quran. Tetapi keharusan ini dengan syarat ia mesti dibaca tanpa memegang mushaf al-Quran.
Namun, orang yang berjunub (bersetubuh sebelum mandi) dilarang membaca al-Quran, sama ada melalui hafalan ataupun memegang dan membacanya.
Jumhur ulama fekah mengharamkan membaca al-Quran ketika haid sehinggalah wanita itu suci. Ia tidak terkecuali kepada sesiapa pun. Apa yang boleh mereka lakukan hanyalah berdoa dan berzikir bukan dengan niat membaca al-Quran seperti membaca basmalah, innalillahi wa inna ilaihi raajiuun, rabbana aatina fiddunnya hasanah atau sebagainya yang terdapat dalam al-Quran dengan tujuan doa dan zikir. Bukan membaca ayat al-Quran secara khusus.
Pengharaman ini berdasarkan dalil berikut:
1. Ia termasuk hukum junub kerana bersetubuh disebabkan kedua-duanya disyariatkan mandi wajib. Ini berdasarkan hadis Ali bin Abu Tolib r.a di mana Rasululah s.a.w mengajar para sahabat al-Quran:
"Tiada apa yang menghalang daripada al-Quran selain junub."
- (Riwayat al-Tirmizi, 146, Abu Daud, jil 1, ms. 281, al-Nasai, jil. 1, ms. 144, Ibn Majah, jil. 1, ms. 207, Ahmad, jil. 1, ms. 84, Ibn Khuzaimah, jil. 1, ms. 104. Menurut al-Tirmizi: Hadis ini hasan sahih. Menurut Ibn Hajar: Hadis ini hasan dan diterima sebagai hujah).
2. Hadis Ibn Umar r.a di mana Rasululah s.a.w melarang wanita haid dan orang yang berjunub membaca al-Quran.
- (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 131, Ibn Majah, no. 595, al-Daruqutni, jil. 1, ms. 117, al-Baihaqi, jil. 1, ms. 89. Hadis ini daif kerana riwayat Ismail bin 'Ayyasy daripada penduduk Hijaz. Riwayat Ismail daripada mereka adalah daif. Menurut Ibn Taimiyah dalam kitabnya al-Fatawa, jil. 21, ms. 460: Hadis ini daif menurut kesepakatan ulama yang mengetahui tentang hadis. Rujuk: Nasb al-Rayah, jil. 1, ms. 195 dan al-Talkhis al-Habir, jil. 1, ms. 183).).
Menurut sebahagian ulama, harus membaca al-Quran ketika haid. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab Malik, riwayat daripada Imam Ahmad, dipilih oleh Ibn Taimiyah dan disokong pula oleh al-Syaukani. Mereka mengunakan dalil berikut:
1. Hukum asal dalam sesuatu perkara adalah harus dan halal sehinggalah terdapat dalil yang melarang. Tidak terdapat dalil yang melarang wanita haid membaca al-Quran. Menurut Ibn Taimiah, tidak ada nas yang jelas lagi sahih yang melarang wanita haid membaca al-Quran. Beliau menyambung: Dan sudah sedia maklum bahawa wanita pada zaman nabi juga didatangi haid. Baginda tidak melarang mereka membaca al-Quran seperti mana baginda tidak melarang mereka berzikir dan berdoa.
2. ALLAH S.W.T memerintahkan agar membaca al-Quran. DIA menjanjikan pahala yang amat besar. Tidak boleh menghalang manusia membacanya kecuali ada dalil yang tsabit.
3. Menyamakan haid dengan junub adalah tidak munasabah kerana kedua-duanya berbeza. Ini kerana junub atau persetubuhan dilakukan atas dasar pilihan sendiri dan boleh menghilangkan hadas itu dengan melakukan mandi wajib. Ini berbeza dengan haid di mana masa datangnya panjang dan berlangsung selama berhari-hari. Junub pula disyariatkan mandi setiap kali ingin mendirikan solat.
4. Melarang wanita haid membaca al-Quran telah mengurangkan pahalanya dan berkemungkinan ada antara ayat-ayatnya dilupai. Adakalanya ia perlu dibaca al-Quran ketika mengajar dan belajar.
Dengan ini, jelaslah bahawa dalil dan pendapat yang dipegang oleh golongan yang mengharuskan membaca al-Quran bagi wanita haid lebih kuat. Untuk lebih selamat, elakkan membaca al-Quran kecuali ketika bimbang ia dilupai.
Hendaklah diambil perhatian, ini hanya melibatkan bacaan al-Quran pada ayat-ayat yang dihafal dalam dada. Tetapi, berhubung dengan menyentuh mushaf al-Quran ketika dalam haid, ia melibatkan hukum lain. Tetapi, pendapat yang paling tepat antara dua pendapat yang bertentangan adalah diharamkan menyentuh mushaf bagi orang yang berhadas berdasarkan keumuman ayat:
"Tidak akan menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci."
– Surah al-Waqiah: 79.
Juga berdasarkan surat Umar Ibn Hazm yang diutuskan oleh Nabi s.a.w kepada Ahli al-Yaman:
"Maka janganlah menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci."
– Riwayat Imam Malik, jil. 1, ms. 199, al-Nasaai, jil. 8, ms. 57, Ibn Hibban, 793, al-Baihaqi, jil. 1, ms. 187. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar: Hadis ini disahihkan oleh sekumpulan Imam. Menurut al-Syafie: Telah tsabit di sisi mereka bahawa ia adalah surat Rasulullah s.a.w. Menurut Ibn Abdul Bar: Surat ini sangat masyhur di kalangan ahli sejarah diketahui oleh para ulama. Pengetahuan ini sangat masyhur. Ia menyerupai mutawatir kerana orang ramai menerima dan mengetahuinya. Menurut al-Albani, hadis ini sahih. Al-Talkhis al-Habir, jil. 4, ms. 17. lihat: Nasb al-Rayah, jil. 1, ms. 196, Irwa al-Ghalil, jil. 1, ms. 158 dan lain-lain lagi.
Jadi, jika wanita haid ingin memegang mushaf al-Quran, lapik dengan kertas yang bersih atau memakai sarung tangan. Atau membalikkan halaman mushaf menggunakan rotan, pen atau sebagainya.
Kesimpulannya, dibolehkan membaca al-Quran selagi mana ia tidak disentuh. Tetapi haram menyentuhnya menurut pendapat yang paling sahih.
Ustazah Sakinah
as salam ..terima kasih ustazah...info yg berguna..:)
ReplyDeletemaklumat yg dicari..terima kasih..
ReplyDeletesalam miss aieyn,
Deleteterima kasih singgah ke blog. semoga artikel ini dapat memberi manfaat.
mklumat yg dicari..trima kaseh..
ReplyDeletemalumat yg dcari..trima kaseh xD..
ReplyDelete