Bagi pesakit stroke (angin ahmar) yang mati separuh tubuh, tidak dapat bergerak atau bangun, tidak dapat bercakap, boleh mendengar tetapi tidak boleh menjawab dan bercakap, adakah masih dikira berakal dan adakah gugur kewajipan solat ke atasnya?
Kewajipan melakukan solat akan kekal selama seorang itu masih berakal, yakni akalnya masih sedar dan dapat memahami niat dan perbuatan-perbuatan solat (cuma pergerakan fizikalnya sahaja yang terhad). Orang sakit diberi rukhsah untuk mengerjakan solat sambil duduk atau sambil berbaring dan melentang atau hanya dengan isyarat (kepala atau mata), iaitu mengikut kadar yang termampu olehnya. Jika akal tidak lagi sedar, maka ketika itu barulah gugur kewajipan solat.
Berkata Imam Ibnu Qudamah: “Jika seseorang tidak lagi mampu memberi isyarat dengan kepala, hendaklah ia (solat) dengan isyarat mata sambil ia meniatkan (perbuatan solat) dengan hatinya. Tidak gugur kewajipan solat darinya selagi akalnya sabit (masih ada)”.
- (Al-Mughni, 2/97).
Ada pandangan yang diriwayatkan dari Imam Abu Hanifah dan dari Imam Ahmad menyebutkan jika seseorang tidak lagi mampu melakukan sebarang pergerakan termasuk memberi isyarat dengan kepala, gugur kewajipan solat darinya, berdalilkan apa yang diceritakan dari seorang sahabat bernama Abu Sa’id al-Khudri r.a. di mana ketika beliau sakit tenat, dikatakan kepadanya: “Solat?”. Ia menjawab; “Telah memadai solatku sebelum ini. Sesungguhnya amal (ibadah) hanya (dituntut) pada ketika sihat sahaja”. Namun, para ulamak menjawab; tidak masuk akal cerita sebegitu terbit dari Abu Sa’id Al-Khudri yang merupakan seorang sahabat yang mengetahui kedudukan solat sebagai penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya dan ia tentunya menyedari betapa perlunya seorang hamba mengekalkan hubungan itu hingga ke saat terakhir umurnya. Mungkin cerita sebenarnya ialah beliau diajak untuk mengerjakan solat berjamaah, lalu ia memberi jawapan seperti itu. Itupun jika kesahihan cerita itu dapat dipastikan.
Kesimpulannya, selagi seseorang itu sedar akalnya, wajiblah ia mengerjakan solat mengikut yang termampu ia lakukan hinggalah kepada memberi isyarat dengan kepala. Adapun jika isyarat dengan kepala juga tidak mampu, maka segelintir ulamak (yakni pandangan yang diriwayatkan dari Imam Abu Hanifah dan Ahmad tadi) berpandangan; gugur solat darinya. Namun jumhur ulamak berpendapat; masih tidak gugur kewajipan solat darinya selagi akalnya masih sedar di mana ia hendaklah melakukan solat dengan isyarat mata atau hati. Apabila akalnya tidak lagi sedar, barulah ketika itu gugur kewajipan solat.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 2/97.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 321.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/350.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment