Soalan:-
Bolehkah menggabung niat puasa qadak dengan puasa enam syawal. Umpamanya, 'Sahaja aku puasa qadak dan puasa sunat di bulan Syawal kerana Allah Taala".
Jika puasa enam itu saya lakukan pada bulan Syawal, adakah saya mendapat pahala untuk puasa qadak dan puasa sunat? Ini kerana saya keliru apabila menerima e-mail dari rakan yang mengatakan ia tidak dibolehkan.
Jawapan:-
Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qadak dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan yang tidak ada dalil dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang tsabit. Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal. Ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di bawah untuk mendapat keutamaan ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.”
- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Oleh itu, sesiapa yang mengqadak puasanya pada bulan Syawal maka dia hanya akan mendapat ganjaran sebagai telah menggantikan puasanya dan tidak mendapat ganjaran puasa sunat syawal.
Berkaitan dengan melafazkan niat untuk berpuasa atau amal-amal ibadah yang lain seperti solat, wuduk, mandi wajib dan lain-lain sebenarnya bukanlah dari ajaran Nabi s.a.w. Malah, tidak wujud satu hadis yang sahih menunjukkan baginda pernah melafazkan niat “nawaitu sauma ghadin...” seperti yang biasa diamalkan di Malaysia.
Niat menurut pengertian bahasa dimaksudkan qasad (maksud yang digerak dan dikehendaki oleh hati), ‘azamul qalb, iaitu apa yang telah terlintas di hati) dan al-iradatul jazimah, iaitu kehendak keinginan hati dalam keadaan yang sedar.
Menurut syarak, niat adalah berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Qasad, azam dan iradah tempatnya di hati kerana ini kerja hati (‘amal al-Qalb) bukan kerja lidah. Oleh itu niat tidak perlu dilafazkan atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur (majoriti) ulama’ dan etimologis (ahli ilmu asal-usul kata). Niat juga diertikan kehendak, maksud (tujuan) dan keazaman bukan paksaan.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang merupakan ulama masyhur bermazhab Syafie di dalam Fathul Baari: "Imam Nawawi mengatakan bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati."
Oleh itu, memadai sekiranya niat berazam untuk berpuasa pada keesokkan harinya kerana ALLAH itu dilintaskan di hati kita tanpa melafazkannya. Inilah mazhab sebenar Imam Syafie r.h.
Wallahu a'lam.
Ustaz Mohd Yaakub
No comments:
Post a Comment