Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 1084.
Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah, mewartakan kepada kami Yahya bin Abu Bukair, mewartakan kepada kami Zuhair bin Muhammad, dari 'Abdullah bin Muhammad bin 'Aqil, dari Abdur-Rahman bin Yazid Al-Anshariy, dari Abu Lubabah bin Abdul-Mundzir, dia berkata: Nabi SAW. bersabda: "Sesungguhnya hari Jumaat itu sebagai pemimpin segala hari, dan hari yang paling mulia bagi Allah. Dia (hari Jumaat itu) adalah yang paling mulia bagi Allah, daripada hari raya Adha dan hari Raya Fitri. Dalam hari Jumaat itu terdapat 5 (lima) peristiwa penting:
(1). Allah menciptakan Adam,
(2). Allah mengusir Adam ke bumi,
(3). Allah mematikan Adam,
(4). Ada satu saat, yang bila seorang hamba memohon kepada Allah, Allah pasti memberinya selama tidak minta yang haram,
(5). Terjadinya hari kiamat. Tiadalah seorang Malaikat Muqarrabun, langit, bumi, angin gunung dan lautan, kecuali mereka itu pada gentar akan hari Jumaat."
-Hadis Riwayat Ibnu Majah & Al-Baihaqi
Hadis Sunan An Nasa'iy Jilid 2. Hadis Nombor 1348.
Dari Aus bin Aus dikatakan: "Bahawasanya Rasulullah telah bersabda: "Sebaik-baik hari adalah hari Jumaat. Di hari Jumaat Adam diciptakan dan di hari Jumaat pula Adam diwafatkan. Di hari Jumaat pula ditiupkan sangkakala dan di hari Jumaat pula terjadi kehancuran seluruh Makhluk Allah. Perbanyaklah membaca selawat di hari Jumaat, sebab selawat kamu akan disampaikan padaku". Tanya para sahabat: "Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami akan disampaikan pada kamu. Sedangkan engkau hancur menjadi tanah?". Sabda beliau: "Sesungguhnya Allah Azza Wajalla mengharamkan bagi tanah untuk menghancurkan jasad pada Nabi a.s."
Hari Jumaat telah dipilih oleh Allah SWT untuk dijadikan sebagai penghulu segala hari serta hari yang paling utama dalam seminggu buat umat Nabi Muhammad s.a.w. kerana pada hari inilah banyak peristiwa besar telah berlaku, sebahagiannya sepertimana yang dinyatakan dalam hadis-hadis di atas.
Selain itu, hari jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.
Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan:- Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: "Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan".
- Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
Bagi sesetengah yang lain, mereka amat berharap agar akan diambil nyawa mereka pada hari Jumaat kerana barangsiapa yang mati pada hari Jumaat ataupun pada malam hari Jumaat, Allah SWT akan memeliharanya daripada fitnah kubur.
Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata, Rasululah s.a.w. telah bersabda : "Tidaklah daripada seorang muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur".
- Hadis Riwayat Tarmizi
Pada hari Jumaat terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan demi mendapat pahala dan keredha'an daripada Allah SWT. :
1. Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat
Firman Allah Dalam Al-Quran yang mulia : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)".
- Surah Al-Ahzab, ayat 56
2. Memperbanyakkan bacaan Al Quran.
Surah-surah yang digalakkan untuk dibaca:
Malam Jumaat : Surah Yaasin, Al-Kahfi
Waktu Subuh : Surah As-Sajdah, Al-Insan
Selesai solat Jumaat : Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas
3. Bangun awal di pagi hari dan niat untuk mandi Jumaat
Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Sesiapa di antara kamu yang pergi (solat) Jumaat, maka hendaklah dia mandi".
- Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
4. Membersihkan badan daripada bau yang tidak menyenangkan
Mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, memotong dan mengemaskan misai, memotong bulu ari-ari dan sebagainya.
Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata : "Nabi Muhammad s.a.w. biasanya mengerat kuku pada hari Jumaat dan mencukur misai baginda sebelum baginda berangkat untuk menunaikan solat ".
- Hadis Riwayat Tabrani
5. Bersiwak
6. Memakai bau-bau yang wangi
Daripada Salman r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tiadalah mandi seseorang pada hari Jumaat lalu bersuci sekadar kekuasaannya serta memakai minyak wangi, dan dipakai harum-haruman di rumahnya kemudian keluarlah dia dengan tidak melangkah tengkuk orang yang duduk dalam saf, kemudian mengerjakan solat yang telah diperintahkan kepadanya (solat sunat tahyatul masjid), kemudian berdiam diri apabila Imam telah berkhutbah, melainkan diampuni baginya dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat yang lain".
- Hadis Riwayat Al-Bukhari
7. Memakai pakaian serba putih
8. Menyegerakan pergi ke masjid
Firman Allah s.w.t. : "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui".
- Surah Al-Jumu'ah, ayat 9
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah, kemudian dia berjalan ke Jumaat (menunaikan solat) pada saat pertama, maka seolah-olah dia telah berkorban seekor unta. Dan sesiapa yang berjalan pada saat kedua, solah-olah dia telah berkorban seekor lembu. Dan sesiapa yang berjalan pada saat ketiga seolah-olah dia telah berkorban seekor biri-biri. Sesiapa yang berjalan pada saat keempat, seolah-olah dia telah berkorban seekor ayam dan seesiapa yang berjalan pada saat yang kelima, seolah-olah dia telah bersedekah sbiji telur. Maka apabila Imam telah naik ke atas mimbar, maka hadirlah segala malaikat untuk mendengar khutbah".
- Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
9. Duduk diam di dalam masjid dengan niat iktikaf dan mendengar khutbah setelah datang awal ke masjid.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apabila tiba hari Jumaat, berdirilah para malaikat di setiap pintu masjid, menuliskan nama orang-orang yang masuk ke masjid, satu demi satu, maka apabila Imam telah duduk di atas mimbar, mereka lipatkan buku catatan meerka dan bersama-sama mendengar khutbah (yang disampaikan) itu".
- Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
10. Apabila masuk masjid hendaklah sembahyang Tahiyatul masjid
11. Mengambil iktibar daripada khutbah yang dibacakan oleh khatib
12. Menunaikan solat-solat sunat Jumaat pada sebelum dan sesudah solat Jumaat
13. Memperbanyakkan amalan sedekah
Firman Allah s.w.t. : "Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami kurniakan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang daripada kamu; lalu dia berkata : Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk di dalam orang-orang yang soleh? Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu ajalnya. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".
No comments:
Post a Comment