Manusia itu berselisih pendapat:-
Adakah membaca al-Quran dengan tartil (lambat) dan sedikit itu lebih baik atau membaca al-Quran dengan laju tetapi banyak? Di sini terdapat 2 pendapat :
Ibn Mas'ud r.a., Ibn 'Abbas r.a. dan selain daripada mereka berdua berpendapat bahawa membaca sedikit tetapi tartil dan berserta tadabbur itu lebih baik daripada membacanya dengan banyak tetapi bacaan itu laju. Mereka berhujah bahawa matlamat membaca al-Quran itu adalah untuk difahami dan diteliti, mempelajarinya serta beramal dengannya. Membaca al-Quran serta menghafaznya adalah cara untuk sampai kepadanya. Seperti kata-kata sebahagian salaf : 'Al-Quran itu turun untuk diamalkan, maka jadikanlah membaca al-Quran itu sebagai satu amalan, oleh sebab itu, ahli al-Quran itu ialah mereka yang beramal dengannya walaupun mereka tidak menghafaznya. Adapun mereka yang menghafaznya tetapi tidak faham maknanya dan tidak beramal dengannya, maka mereka bukanlah ahli al-Quran walaupun mereka menghafaznya dengan begitu baik sekali.
Mereka berkata : Iman itu lebih baik daripada amal. Memahami al-Quran dan menelitinya boleh membuahkan iman. Adapun membacanya tanpa kefahaman dan penelitian, maka itu boleh saja dilakukan oleh orang baik mahupun jahat, orang beriman mahupun munafiq. Sebagaimana yang dikatakan Nabi s.a.w.: "Orang munafik yang membaca al-Quran itu diibaratkan seperti al-raihanah, baunya wangi tetapi rasanya pahit".
- [Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa'ie dan Ibn Majah]
Dan manusia itu dalam hal ini ada 4 tingkatan:-
1.Ahli al-Quran dan iman, mereka adalah sebaik-baik manusia.
2.Mereka yang tiada al-Quran dan tiada iman.
3.Mereka yang 'diberikan' al-Quran tetapi tidak dikurniakan iman.
4.Mereka yang diberikan iman tetapi tidak 'diberikan' al-Quran.
Mereka berkata : Sebagaimana mereka yang dikurniakan iman tanpa al-Quran itu lebih baik daripada mereka yang 'diberikan' al-Quran tetapi tidak dikurniakan iman, maka begitu jugalah mereka yang dikurniakan tadabbur dan kefahaman ketika membaca al-Quran itu lebih baik daripada mereka yang banyak dan laju membaca al-Quran tetapi tiada tadabbur.
Mereka berkata : Inilah petunjuk Nabi s.a.w. Baginda membaca satu surah itu secara tartil sehingga ia menjadi lebih panjang daripada bacaan surah itu jika dibaca seperti biasa. Dan Baginda s.a.w. membaca satu ayat dan mengulang-ulangnya sehingga subuh.
Pengikut-pengikut Syafie berkata : Membaca al-Quran dengan banyak itu lebih baik. Mereka berhujah dengan hadis Ibn Mas'ud, Nabi s.a.w. berkata : "Siapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah, maka dia akan mendapat kebaikan, dan kebaikan itu berganda sebanyak 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan 'alif lam mim' itu satu huruf tetapi 'alif' itu satu huruf, 'lam' itu satu huruf dan 'mim' itu satu huruf".
-[Riwayat al-Tirmizi dan beliau mensahihkannya]
Mereka juga berkata : Uthman bin 'Affan membaca keseluruhan al-Quran dalam satu rakaat, dan mereka menyebut athar-athar lain daripada para salaf mengenai banyaknya mereka membaca al-Quran.
Dan yang benar dalam masalah ini ialah : Pahala membaca secara tartil dan tadabbur itu lebih mulia dan lebih tinggi nilainya, dan pahala banyak membaca al-Quran pula lebih banyak dari segi bilangan.
Yang pertama : seperti seseorang yang bersedekah dengan sebiji mutiara yang sangat bernilai, atau seseorang yang membebaskan seorang hamba tetapi nilai seorang hamba ini sangat tinggi.
Dan yang kedua : seperti seseorang yang bersedekah dengan dirham yang banyak, atau seseorang yang membebaskan ramai hamba tetapi nilai setiap hamba ini murah.
Dalam Sahih Bukhari, dari Qatadah, aku bertanya Anas mengenai bacaan Nabi s.a.w., dia berkata : Nabi s.a.w. itu memanjangkan bacaan di mana ia patut dipanjangkan dan membaca huruf dengan makhraj yang betul.
Syu'bah berkata : Abu Jamrah menceritakan kepada kami, dia berkata : Aku berkata kepada Ibn 'Abbas : Sesungguhnya aku ini membaca al-Quran dengan laju, aku boleh mengkhatamkan al-Quran dalam satu malam sekali atau 2 kali. Ibn 'Abbas berkata : Membaca satu surah itu lebih aku sukai daripada melakukan apa yang kamu lakukan, jika engkau memang membaca al-Quran dengan laju, maka bacalah dalam keadaan telinga kamu mendengar apa yang dibaca dan hati kamu memahaminya.
Ibrahim berkata : 'AlQamah membaca di hadapan Ibn Mas'ud, dan dia adalah seorang yang cantik bacaannya. Ibn Mas'ud berkata : Bacalah dengan tartil, sesungguhnya ia adalah hiasan al-Quran.
Berkata Ibn Mas'ud : Janganlah kamu membaca al-Quran dengan laju sebagaimana kamu membaca syair dan janganlah kamu membacanya dengan tunggang langgang sebagaimananya rhutab yang busuk dan kering itu jatuh dari dahannya apabila digoncang. Berhentilah dan perhatikanlah keajaibannya dan getarkanlah hati dengannya, dan janganlah kamu membacanya semata-mata untuk sampai ke akhir surah.
Dia juga berkata : Jika engkau mendengar 'Wahai orang-orang yang beriman', maka lontarkanlah pendengaranmu, sesungguhnya ia adalah kebaikan yang disuruh atau keburukan yang mesti dijauhi.
Berkata Abdul Rahman bin Abi Layla : Seorang wanita datang kepadaku ketika aku sedang membaca surah Hud. Dia berkata : Wahai Abdul Rahman, adakah begini engkau membaca surah Hud?! Demi Allah, aku membaca surah ini sejak enam bulan yang lalu dan aku masih belum selesai membacanya.
Rasulullah s.a.w. kadang-kadang memperlahankan bacaannya dalam solat malam, kadang-kadang menguatkannya, adakalanya Baginda memanjangkan qiyamnya, dan adakalanya meringankan. Baginda s.a.w. berwitir di akhir malam (selalunya), di awal malam, dan di pertengahan malam.
Diterjemah daripada : Ibn Qayyim, Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khayr al-'Ibad,
(Beirut : Mu'assasah al-Risalah, 1998M) 327-329.
No comments:
Post a Comment