Soalan:
Bolehkan seseorang mengangkat takbir dengan jejari tidak lurus (sekadar mengangkatkan kedua tapak tangan dengan jemari yang hampir terlikup)?
Jawapan:
Dari Salim yang meriwayatkan dari bapanya r.a. menceritakan; “Aku melihat Rasulullah s.a.w. apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”.
- (Riwayat Imam Muslim)
Dari Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca "Sami'allahu liman hamidah" dengan melakukan seumpama tadi”.
- (Riwayat Imam Muslim)
Dengan menggabungkan dua hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa; semasa bertakbir dua tangan hendaklah diangkat setentang dengan bahu (dilihat secara menegak ke bawah) dan setentang dengan telinga (dilihat secara melintang).
Menurut perincian ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie, cara mengangkat tangan yang sempurna ketika takbir ialah; dua tangan diangkat hingga hujung-hujung jari setentang dengan ujung telinga, dua ibu jari setentang dengan bahagian bawah telinga (yakni tempat dipakaikan subang/anting-anting) dan dua tapak tangan setentang dengan bahu. Dua tapak tangan itu hendaklah didedahkan dengan mengadap ke kiblat dan jari-jari tangan direnggangkan antara satu sama lain secara sederhana.
Dari segi hukum, mengangkat tangan ketika takbir ini adalah sunat, tidak wajib. Oleh demikian, jika tidak dilakukan atau dilakukan secara tidak sempurna, tidaklah membatalkan solat. Namun demikian, solat yang paling baik ialah yang dilakukan dengan sehabis sempurna dan mengikut cara solat Nabi s.a.w..
Wallahu A’lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment