Menurut Imam Ibnu Hazm, Allah SWT menjadikan ruh-ruh secara berkumpulan sebagaimana sabda Nabi s.a.w.: “Ruh-ruh diciptakan dalam kumpulan-kumpulan tersendiri. Mana-mana yang saling bersamaan dari mereka, akan saling berkawanlah dan mana-mana yang berbeza, akan saling bertelagahlah”.[1]
Kemudian Allah SWT mengambil penyaksian dari ruh-ruh itu terhadap rububiyah/ketuhananNya sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka (dengan berfirman kepada mereka): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’. Mereka menjawab: ‘Betul, (Engkaulah Tuhan kami), kami bersaksi’. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan; ‘Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini’”.
- (al-A’raf: 172)
Menurut Imam Ibnu Hazm, penyaksian tersebut di ambil sebelum lagi Malaikat di arah sujud kepada Adam dan sebelum ruh ditiupkan ke dalam jasad Adam di mana jasad Adam ketika itu masih berupa tanah dan air.
Kemudian ruh-ruh itu ditempatkan di Barzakh iaitu tempat yang sama ia akan dikembalikan apabila berlakunya kematian. Ruh-ruh akan kekal di situ sehingga sempurna kesemuanya ditiupkan ke dalam jasad-jasad manusia. Dalam pengertian lain; dari tempatnya di Barzakh itu, satu persatu ruh dipindahkan ke dalam jasad-jasad manusia (iaitu ketika janin-janin berusia 4 bulan atau 120 hari di dalam rahim ibu) hinggalah sempurna kesemua ruh yang ada dipindahkan iaitu mengikut bilangan manusia yang ditakdirkan Allah SWT akan hidup di atas muka dunia ini.
Kemudian apabila berlaku kematian, ruh-ruh itu akan dikembalikan semula ke Barzakh iaitu tempat asalnya sebelum ia ditiupkan ke dalam jasad. Ketika Rasulullah s.a.w. di mikrajkan, tatkala bertemu Nabi Adam a.s. di langit pertama (langit dunia), baginda melihat di kanan dan kiri Adam terdapat ruh-ruh manusia yang banyak; sebelah kanannya ialah ruh-ruh yang mendapat kebahagiaan dan di sebelah kirinya ialah ruh-ruh yang mendapat kesengsaraan. Menurut Imam Ibnu Hazm, ruh-ruh yang dilihat Nabi s.a.w. itu ialah ruh-ruh manusia di alam Barzakh.
Kemudian apabila berlaku kiamat, ruh-ruh akan dikembalikan semula kepada jasad-jasad mereka buat kali kedua di mana sekelian makhluk akan di hisab/dihitung oleh Allah SWT dan akhirnya sebahagian mereka akan ditempatkan di dalam syurga dan sebahagian lagi akan ditempatkan di dalam neraka”.[2]
Kesimpulannya, menurut pandangan Imam Ibnu Hazm; ruh-ruh berasal dari alam Barzakh, kemudian di pindahkan ke dalam jasad manusia, kemudian di kembalikan semula ke alam Barzakh (apabila berlaku kematian) dan akhirnya akan bersama semua dengan jasad di hari akhirat.
Wallahualam
[1] Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.
[2] Lihat; Tafsir Mahasin at-Takwil, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, jil. 6, hlm. 522-524 (ayat 85, surah al-Israk). Lihat juga; ar-Ruh, Imam Ibnul-Qayyim, hlm. 130-132.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
ouh macam tu . sebelum ni x taw pon.
ReplyDelete