Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap-sedia dengan tempat duduknya di Neraka.”
- (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)
Anas bin Malik r.a. berkata: “Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah s.a.w. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah s.a.w. (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa beliau membenci perkara tersebut.”
- (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)
Yang dimaksudkan dengan berdiri di dalam hadis ini adalah berdiri dengan tujuan untuk mengagungkan seseorang. Iaitu dengan cara berdiri di (dari) tempat duduknya dan dia tidak berganjak dari tempat duduk asalnya. Iaitu sekadar berdiri sebagai tanda hormat.
Adapun berdiri dan bergegas (menuju kepada seseorang) dengan sebab untuk menyambut tetamu atau memberi pertolongan kepada orang yang hadir, maka itu tidak termasuk di dalam ancaman daripada hadis di atas.
Hadis di atas menunjukkan bahawa seseorang muslim yang suka dihormati dengan berdiri, ketika dia masuk ke sesuatu majlis, maka dia diancam dengan ancaman Neraka.
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.”
- (Al-Hujurat: 13)
Mungkin ada yang berkata, “Jika kita tidak berdiri untuk orang yang masuk ke dalam majlis, mungkin dalam hatinya terdetik sesuatu prasangka kepada kita yang duduk.”
Kita menjawab, “Kita menjelaskan kepada orang yang datang itu, bahawa kecintaan kita padanya terletak di hati. Dan kita meneladani Rasulullah s.a.w. yang membenci berdiri sebagai tanda penghormatan. Juga meneladani para sahabat yang tidak berdiri untuk beliau. Dan kita tidak mengkehendaki orang yang datang itu masuk Neraka.”
Maka, dengan itu, janganlah kita zahirkan cara penghormatan yang boleh mengakibatkan mereka yang diberi penghormatan itu diancam dengan Neraka sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.”
-(Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)
Disunting dari buku: Golongan Yang Selamat, Syaikh Muhammad Jamil Zainu.
No comments:
Post a Comment