Soalan:
Apa hukumnya isteri yang memotong saluran peranakan oleh kerana tidak mahu mengandung lagi walaupun diberi keizinan oleh suami? Adakah ia satu dosa besar?
Jawapan:
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asyirahnya (jil. 2) apabila ditanya berkenaan hukum mengikat saluran peranakan, beliau menjawab: “Perbuatan tersebut tidak harus kerana mengandungi tindakan mengubah ciptaan Allah SWT. Ia adalah perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan. Dikecualikan jika terdapat darurat yang kemuncak, seperti kelahiran anak akan mendatangkan bahaya kepada Ibu dan tidak ada jalan lain lagi untuk menghalang kelahiran melainkan dengan cara tersebut (yakni mengikat saluran peranakan itu). Hukum darurat tersebut hanya bersifat individu dan merupakan kes terpencil yang dilakukan mengikut kadar perlu. Tidak harus hukum darurat tersebut diambil menjadi satu prinsip umum untuk semua keadaan”. (hlm. 680)
Ulasan:
1. Berdasarkan fatwa di atas dapat kita simpulkan bahawa; mengikat saluran peranakan –apatah lagi memotongnya- hukum asalnya ialah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah SWT iaitu merosakkan fungsi anggota tubuh yang dijadikan Allah SWT. Hukum asal ini tidak berubah kecuali jika ada suatu darurat yang tidak dapat dielakkan.
2. Perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan yang disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam fatwanya di atas adalah merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “(Syaitan derhaka) yang telah dilaknat oleh Allah dan ia (yakni syaitan itu) berkata: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil dari hamba-hambaMu sebahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku), dan aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak); lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah’. Dan (ingatlah) sesiapa mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang-nyata”.
- (Surah an-Nisa’, ayat 118-119)
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhwai, jil. 2, hlm. 680. (Cet. Al-Maktab al-Islami, Beirut/Dimasyq/’Amman, 2000).
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment