Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka...”
- Riwayat Ahmad
Huraian:
1. Melibatkan diri dalam kegiatan yang haram, hukumnya adalah haram. Begitu juga hasil pendapatan dari yang haram, hukumnya adalah haram.
2. Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti ahli profesional iaitu sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merangkumi ganjaran daripada khidmatnya seperti khidmat guaman, juru perunding dan sebagainya.
3. Gaji dan pendapatan bebas adalah wajib dikeluarkan zakat berdasarkan syarat-syarat yang tertentu seperti: Islam, pemilikan sempurna, pendapatan/hasil, cukup nisab dan haul. Kadar zakatnya adalah 2.5% iaitu berpandukan kepada kadar zakat emas kerana gaji dan pendapatan bebas itu diterima dalam bentuk matawang atau nilai wang.
4. Pendapatan yang diperolehi oleh seseorang daripada sumber yang haram seperti wang riba, perjudian dan seumpamanya hendaklah ditolak dari kiraan pendapatan yang dizakatkan. Pendapatan-pendapatan ini hendaklah diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
No comments:
Post a Comment