Soalan:
Saya ingin bertanya berkenaan dengan bacaan dalam solat. Adakah sah solat seseorang itu, jika dia membaca dengan 1 bacaan sahaja dan bukannya 3. Sebagai contoh, bacaan ketika sujud, sepatutnya di baca 3 kali tetapi di baca sekali sahaja. Apa hukumnya?
Jawapan:
Yang dituntut ketika sujud (begitu juga ketika i'tidal, rukuk dan duduk antara dua sujud) ialah melakukannya mengikut kaifiyat yang ditetapkan Syarak berserta dengan tomaninah. Tomaninah bermakna memastikan diri tetap, tenang dan tidak tergesa-gesa dalam sesuatu posisi solat sebelum berpindah ke posisi yang lain.
Adapun membaca tasbih/zikir/doa ketika sujud itu (begitu juga ketika i'tidal, rukuk dan duduk antara dua sujud), mengikut jumhur ulamak; hukumnya adalah sunat sahaja. Sekurang-kurang bilangan tasbih (untuk mendapat pahala sunat itu) ialah sekali. Namun bilangan yang sempurna ialah sekurang-kurangnya tiga kali.
Bagi yang bersolat bersendirian, digalakkan memperbanyakkan tasbih melebihi tiga kali iaitu lima, tujuh, sembilan sehingga sebelas kali.
Dalam mazhab Syafi'ie, bacaan-bacaan yang wajib ketika solat hanyalah:
1. Membaca takbir ketika mula solat (yakni Takbiratul-Ihram)
2. Membaca al-Fatihah pada setiap rakaat
3. Membaca Tahiyyat/Tasyahhud dan Selawat ketika duduk Tahiyyat akhir
4. Memberi salam pertama.
Adapun bacaan-bacaan yang lain, hukumnya sunat sahaja. Namun begitu, tidak digalakkan meninggalkannya tanpa sebab.
Wallahu a'lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
terima kasih ustaz atas jawapan. penerangan yang sangat membantu - amir
ReplyDeleteSalam Amir,
ReplyDeleteAlhamdulillah, ilmu dapat kita kongsi bersama. Artikel ini saya dapati dari laman web http://ilmudanulamak.blogspot.com
Terima kasih atas lawatan ke blog saya.