Disiarkan pada Feb 25, 2009 dalam kategori Fekah Wanita
Soalan:
Apakah perlu seorang wanita ketika mandi wajib selepas haid menggunakan wangian pada farajnya, seperti yang pernah saya dengar. Atau memadai sekadar dilalukan air sahaja?
Jawapan:
Pada asalnya, seorang wanita yang mandi wajib selepas haid itu memadai dengan membersihkan anggotanya terutama faraj atau alat sulitnya, kemudian dipastikan air meratai tubuhnya. Namun hadith Nabi s.a.w juga menunjukkan menggunakan wangian pada tubuh dan faraj semasa mandi wajib adalah disunatkan.
Daripada ‘Aisyah: Bahawa Asma` bertanya Nabi s.a.w. mengenai mandi wanita haid. Sabda baginda: “Hendaklah seseorang kamu mengambil air dan daun bidaranya, dia bersihkan dengan sebaiknya. Kemudian dia curahkan air ke atas kepalanya dan menggosoknya betul-betul sehingga sampai ke akar rambutnya. Kemudian dia siram ke atas kepalanya air. Kemudian dia ambil kapas yang bercampur kasturi dan dia bersihkan dengannya”. Kata Asma`: Bagaimana (cara) dia bersihkan dengannya? Sabda Nabi: Subhana Allah!! Bagaimana engkau hendak bersihkan dengannya?!!. Kata ‘Aisyah: Seakan dia menyembunyikan perkara itu (Dia memperlahankan suaranya agar hanya didengar oleh Nabi s.a.w tetapi tidak didengar oleh orang lain). (Sabda Nabi): “Engkau ikuti kesan darah”. Dia bertanya (pula) tentang mandi junub. Sabda Nabi: “Hendak dia (seseorang perempuan) mengambil air dan bertuhur (berwuduk) serta mengelokkan tuhur itu atau menyempurnAkan tuhur. Kemudian hendaklah dia curahkan air ke atas kepalanya lalu menggosoknya sehingga ke akar rambut. Kemudian dia mencurahkan air ke atasnya”. Kata ‘Aisyah: “Sebaik-baik wanita, wanita Ansar, malu tidak pernah menghalang mereka bertafaqquh dalam agama.
- (Riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim. Hadith di atas adalah dengan lafaz al-Imam Muslim. Juga al-Nasai dalam Sunannya, Kitab al-Taharah dan Abu Daud dalam Sunannya, Kitab al-Taharah).
Ada beberapa faedah yang boleh diambil daripada hadith ini, antaranya Rasulullah membenarkan Asma bertanya persoalan yang agak peribadi bagi wanita. Ini menunjukkan guru atau tokoh agama tidak boleh menghalang persoalan-persoalan yang sedemikian jika tujuannya adalah untuk ilmu menimba pengetahuan. Tidak perlu malu dalam masalah hukum-hakam syarak.
Juga, hadith ingin mengingatkan haid biasanya meninggalkan kesan bau yang kurang enak pada wanita, maka mereka disuruh menggunakan bahan-bahan yang menghilangkan kesan tersebut. Penggunaan apa-apa bahan samada bersifat tradisi atau moden yang membantu menghilangkan kesan tersebut, adalah menunaikan tuntutan hadith. Maka wanita disunatkan mencari wangian ketika mandi wajib untuk membersih dan mewangikan tubuh juga faraj atau alat sulit mereka.
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
No comments:
Post a Comment