Soalan:
Bagaimanakah cara-cara untuk mengqadak solat yang kita tinggal dahulu dengan sengaja? Adakah kita perlu mengqadak solat pada waktunya? Contohnya saya tertinggal zuhur, adakah pada waktu zuhur keesokkannya baru saya qadak atau saya qadak pada waktu asar selepas solat asar pada hari yang sama?
Jawapan:
Tidak perlu mengqadak solat apabila ditinggalkan secara sengaja menurut pendapat paling sahih antara perselisihan. Meninggalkan solat secara sengaja terkeluar dari kalangan umat Islam dan keadaan ketika dia meninggalkan solat dianggap sama seperti golongan kafir.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Beza antara orang beriman dengan orang yang kufur atau syirik ialah meninggalkan solat.”
– Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Jadi, jelaslah kepada kita bahawa sesiapa meninggalkan solat bermakna dia termasuk di kalangan orang yang kufur. Bukankah amalan orang kafir dan musyrik itu tidak diterima selagi tidak bertaubat? Justeru, dia wajib bertaubat dengan taubat nasuha dan meninggalkan perbuatan itu. Sama juga seperti kuffar dan musyrik yang wajib bertaubat dan meninggalkan perbuatan kufur dan syirik itu. Selepas itu, golongan ini hendaklah memperbanyakkan amal soleh untuk memberatkan timbangan amalannya.
Selain itu, dalam riwayat yang lain menceritakan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan golongan kuffar yang kembali kepada Islam mengqadak solat mereka. Begitu juga para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq r.a. Ketika menjadi khalifah, beliau tidak memerintahkan orang yang telah murtad mengqadak solat apabila kembali kepada Islam.
Wallahu a’lam.
Ustaz Mohd Noor
No comments:
Post a Comment