Soalan:
Saya hendak masuk kursus chef. Kami harus pegang semua jenis daging dan arak. Persoalannya ialah apakah hukumnya dan adakah ianya berdosa? Apakah yang harus saya buat?
Jawapan:
Seorang muslim wajib menjaga batasan Syariat termasuk batasan halal dan haram. Arak adalah haram dan najis berdalilkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Orang Islam bukan sahaja dilarang minum arak, malah dilarang terlibat dengan segala yang ada kaitan dengan arak.
Sabda Nabi s.a.w.; “Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, yang menghidangnya untuk diminum (oleh orang lain), yang menjualnya, yang membelinya, orang yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa arak kepadanya dan orang yang memakan harganya (yakni hasil jualannya)”.
- (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim dari Ibnu Umar. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7253)
Begitu juga dengan daging-daging yang tidak halal (daging tidak disembelih, daging babi dan sebagainya); haram memakannya, haram menjualnya dan haram menghidangnya kepada orang lain.
Di dalam al-Quran, Allah melarang umat Islam membantu perbuatan dosa; “Saling membantulah untuk melakukan kebaikan dan takwa dan jangan saling membantu dalam perkara dosa dan pelanggaran/permusuhan”.
- (Surah al-Maidah, ayat 2).
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda semasa baginda berada di Mekah pada tahun pembukaannya; “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala”. Baginda ditanya: Ya Rasulullah, bagaimana dengan lemak bangkai? (Adakah turut diharamkan) kerana ia digunakan untuk menyaluti (mengecat) kapal/sampan, meminyaki kulit-kulit dan bahan bakar pelita/lampu. Maka Nabi menjawab; ia juga haram. Kemudian baginda bersabda lagi; “Allah telah melaknat kaum Yahudi kerana tatkala Allah mengharamkan ke atas mereka lemak-lemak (binatang yang diharamkan) mereka mencairkannya, kemudian menjualnya dan memakan harganya (yakni wang hasil jualannya)”.
- (Riwayat Imam al-Bukhari).
Dalam hadis lain baginda menegaskan; “Sesungguhnya Allah apabila mengharamkan sesuatu, maka Ia mengharamkan juga hasil jualannya”.
- (Riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas r.a.).
Oleh demikian, saya menasihatkan saudara agar mencari kursus masakan yang lain yang tidak menggunakan bahan-bahan yang haram. Yakinlah, dengan menjaga Syri’at Allah hidup saudara akan sentiasa diberkati dan rezeki saudara akan sentiasa dimurahi.
Wallahu a’lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment