Tuesday, February 9, 2010
Burung-burung Dalam Kisah Anbiya
Spesis:
Burung gagak
Nama saintifik:
Corvus corax (Common raven)
Era:
Nabi Adam a.s.
Sinopsis:
Setelah terjadinya pembunuhan pertama manusia (Setelah Habil dibunuh oleh Qabil, Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya itu. Dia tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin membusuk. Diletakkannya tubuh itu di dalam sebuah peti yang dipikulnya, seraya mundar-mundir dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya itu. Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri: "Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku ini?" Demikianlah penyelesaian jenazah manusia yang terbaik iaitu dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas makhluk-makhluk lainnya.
Spesis:
Hud-hud/belatuk
Nama saintifik:
Upupa epops
Era:
Nabi Sulaiman a.s.
Sinopsis:
Dalam Al-Quran, Surah An-Naml ada kisah tentang Nabi Sulaiman a.s dengan burung Hud Hud. Nabi Sulaiman boleh cakap bahasa haiwan, dan baginda memiliki seluruh kerajaan di bumi pada waktu itu. Nabi Sulaiman juga boleh arahkan angin, jin dan air untuk ikut arahan baginda. Waktu itu, Hud Hud tidak hadir di perhimpunan rakyat jelata Nabi Sulaiman a.s. Kelibat bayangnya tidak kelihatan. Akibatnya, Nabi Sulaiman a.s telah marah, hinggakan baginda a.s mengancam akan mengambil tindakan tegas terhadap Hud Hud jika di dapati benar ia bersalah kerana ponteng. Sudah pasti, semua yang hadir pada waktu itu, tertanya-tanya, ke mana la perginya Hud Hud ni. Tapi, rupanya Hud Hud bukan sengaja tidak hadir. Hud Hud ada misi lain pada waktu itu.
Apa usaha Hud Hud, sampai Allah s.w.t rakamkan kisahnya di dalam Al-Quran? Hud Hud telah berhasil menemukan Kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu bernama Balqis. Mereka menyembah matahari. Hud Hud telah memberi maklumat itu kepada Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman a.s. telah menghantar utusan kepada Ratu Balqis dan rombongan Ratu Balqis telah berangkat untuk bertemu dengan pesuruh Allah itu. Lalu Allah mengurniakan hidayahNya yang tiada ternilai kepada Ratu Balqis, dan telah Berjaya mengislamkan Ketua Negeri Saba’ itu dan kaumnya untuk beriman dan mentauhidkan Allah.
Jika difikirkan, Allah s.w.t Maha Kuasa untuk mewahyukan sahaja kepada Nabi Sulaiman a.s tentang kerajaan Saba’ ini. Tapi, Allah pilih Hud Hud, sebagai asbab untuk memberitahu Nabi Sulaiman a.s tentangnya.
Spesis:
Burung pipit
Nama saintifik:
Passer (true sparrow)
Era:
Nabi Ibrahim a.s.
Sinopsis:
Ketika Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud yang memerintah negara Babylon di atas kesalahan memecahkan patung-patung berhala, antara burung-burung yang berterbangan menyaksikan peristiwa tersebut ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.
Burung pipit terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit. “Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?” tanya burung-burung yang lain. “Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim,” jawab burung pipit. “Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu,” kata burung lain pula.
Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah SWT, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia telah menjalankan tanggungjawabnya; tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir.
Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran. Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur. (Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd).
Spesis:
Merpati
Nama saintifik:
Columbia livia (Rock Pigeon)
Era:
Nabi Muhammad s.a.w.
Sinopsis:
Dikatakan ketika Nabi Muhammad s.a.w. bersembunyi di dalam gua Thur bersama Abu Bakar, mereka nyaris dikesan oleh kaum kafir Quraisy yang ikut mengejar. Mereka diyakinkan oleh sarang labah-labah yang dianyam kemas di pintu gua dan burung merpati yang bersarang di dalam gua tetapi tidak mengeluarkan bunyi (sebagaimana lazim, burung merpati berbunyi jika ada manusia berhampiran mereka).
Berkenaan dengan kisah burung merpati dan labah-labah, timbul satu persoalan. Adakah kedua-duanya benar-benar ada?
Dr. Yusuf Al-Qardawi mengatakan : “Adapun merpati itu, tidak ada riwayat yang sohih atau hasan berkenaannya. Manakala labah-labah pula, terdapat riwayat mengenainya. Ada yang mengatakan ia hasan, ada pula yang mengatakan dhoif. Apa yang penting adalah, Allah SWT mempunyai tentera-tentera. Boleh jadi labah-labah yang mana Allah SWT menyifatkan sarangnya sebagai sarang yang rapuh."
Maksudnya: Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah SWT sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.
Tidak peliklah jika Allah SWT menjaga rasul-Nya dengan sarang yang rapuh atau Allah SWT menjaganya tanpa ada asbab-asbab yang kita boleh lihat. Apa yang penting, rasul-Nya terjaga dan terpelihara.”
- [Khitabul Asy-Syeikh Al-Qardawi, juzu’ ke-4, dikumpulkan oleh Dr. Khalid Khalifah As-Saad]
Oleh itu, tidak boleh menyembunyikan kisah ini, malah perlu menyebutkannya selagimana ia disebutkan di dalam sunnah nabawiyyah. Katakanlah bahawa peristiwa ini menjadi bukti yang jelas kenabian Nabi Muhammad saw.
Pengajaran Dari Kisah-kisah:-
Pengajaran/‘Ibrah yang sangat besar yang boleh diteladani oleh manusia, umat Islam khususnya, terutama sekali daripada contoh yang ditunjukkan oleh burung pipit semasa Raja Namrud membakar Nabi Ibrahim a.s. Jika mahu mengira mengikut logik matematik, nisbah air yang dibawa oleh si burung pipit berbanding dengan api yang Namrud sediakan, hampir kepada sia-sia. Namun, Allah SWT Maha Adil dan Saksama. Allah tidak melihat kepada hasil, tetapi Allah memandang dan mengambil kira usaha yang dilakukan.
Di antara sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Senyum anda di hadapan saudara anda adalah sedekah. Jangan menganggap remeh suatu kebaikan, meskipun hanya menampakkan wajah yang berseri saat anda bertemu dengan saudara anda“.
- (Riwayat Muslim)
Kita tidak pernah mengetahui dengan amalan apakah yang menjadi sebab kita diredhai Allah SWT untuk masuk ke syurgaNya. Walaupun amalan itu dipandang kecil oleh manusia, tetapi jika Allah berkenan (mungkin disebabkan keikhlasan sang pelaku di saat itu), maka kita akan diganjari olehNya.
Salah satu wasiat Luqman a.s. kepada anaknya. Katanya: “Janganlah engkau tertipu dengan kebaikanmu walaupun banyak, kerana engkau tidak tahu adakah ianya diterima atau tidak.”
Dari itu, berbuat baiklah di mana sahaja kita berada dan berdaya. Jangan memperlekeh kebaikan yang dibuat oleh manusia lain, walaupun ianya sedikit.
Credit: Sebahagian artikel ini dipetik dari http://lensahati.wordpress.com
No comments:
Post a Comment