Friday, February 5, 2010
Doa Apabila Menghadapi Tekanan (Stress)
Panduan bagaimana untuk menangani stress :
1. Kita mesti menjadi seorang yang berwawasan dan berperancangan.
Orang yang berjaya ialah mereka yang mempunyai wawasan atau visi. Hidup mereka bermatlamat dan di samping itu mereka mempunyai cita-cita yang tinggi. Mereka merupakan golongan yang mampu menjawab dengan jelas soalan ‘what’ atau 'apa yang saya mahu' berhubung masa depan seperti yang disebutkan oleh Peter M. Senge dalam bukunya The Fifth Discipline.
Wawasan dan matlamat perlu disusuli dengan usaha. Allah SWT berfirman: “Mereka itulah orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.”
- Surah Al Baqarah, Ayat 202
Usaha yang akan mendatangkan hasil yang baik ialah usaha yang berdasarkan perancangan yang teliti. Nabi s.a.w. bersabda: “Manfaatkan yang lima sebelum datang yang lima - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati.”
- Imam Tirmizi
Hadis ini menunjukkan mereka yang berjaya ialah mereka yang merancang awal dalam hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang proaktif yang ingin memanfaatkan peluang hari ini sebelum tiba hari esok. Dengan itu kerja-kerja ‘last minute’ dapat dielakkan, sekaligus cara hidup kelam-kabut dan tergesa-gesa yang melahirkan tekanan (stress) dapat dielakkan.
2. Berzikir dan beribadah dengan khusyuk.
Ibadah yang khusyuk akan mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah SWT sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah Zikrullah.
Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”
- (Ar-Ra’d 13:28)
Pada suatu ketika, seorang lelaki telah mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.” Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama - ke tempat orang sedang membaca Al-Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah; dan ketiga - kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-NYA agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”
Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.
3. Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar.
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’ atau ‘belajar tanpa henti’. Mereka, yang dikenali sebagai workaholic, bekerja / belajar siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini akan membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah. Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Islam menentang sebarang sikap melampau di dalam hidup.
Nasihat yang paling baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi r.a. kepada Abu Darda r.a. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu dan keluargamu ada hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.”
- (Bukhari).
Justeru keseimbangan dalam hidup adalah sangat penting.
4. Senaman dan Rekreasi Meredakan Tekanan.
Islam menggalakkan umatnya aktif beriadah dan membenci mereka yang malas dan tidak aktif.
Nabi s.a.w. telah bersabda: “Semua perkara melalaikan seseorang dari Zikrullah melainkan empat perkara: pergi memanah, melatih kuda (untuk berperang), bergurau senda di antara suami-isteri dan belajar berenang.”
- (Tabrani)
Senaman akan menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang.
Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak akan mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphin yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman dan rekreasi (dalam batas-batas syariat) adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress.
5. Berdoa Dengan Khusyuk Adalah Penawar
Berdoa adalah ibu ibadah. Imam An-Nawawi telah menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa: “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan”.
Doa yang diterima oleh Allah ialah yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.: “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak akan memperkenankan doa yang datang dari hati yang lalai”.
- (Tirmizi)
1. Credit to: www.darussyifa.org
2. Credit to: Dr Danial - Author
No comments:
Post a Comment