Perintah Kecil
Segala sesuatu yang Rasulullah s.a.w. perintahkan, sekecil apa pun perbuatan itu, mengandungi hikmah tertentu bagi diri dan masyarakat kita. Seorang pencinta kebaikan tidak pernah melihat kecil perbuatan baik yang dilakukannya sebab perbuatan itu dilihat sebagai peluang untuk meninggikan darjat di dalam syurga and mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.
Imam Al-Sya’rani bercerita: Seseorang bermimpi bertemu Imam Al-Ghazali setelah beliau wafat. Orang itu bertanya, “Bagaimana Allah memperlakukan terhadap dirimu?”. Dia menjawab, “Allah mengampunkan aku kerana suatu hari aku membiarkan seekor lalat minum dari tinta yang sedang aku gunakan untuk menulis.”
Kisah ini memaparkan bahawa walaupun perbuatan kecil yang dilakukan seseorang, namun kadang-kadang memberikan impak yang sangat besar.
Seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Samurah Bin Jundab pernah berkata, “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya.”
- Riwayat Ibn Al-Mubarak pada kitab Al-Zuhd.
Maksudnya : Siapa yang sangat menghormati Allah SWT lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu petanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barangsiapa yang meremehkan hak-hak Allah SWT dan tidak menghormatinya sama sekali, itu petanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.
Perbuatan-Perbuatan Makruf (Baik):
•Dua rakaat solat sunat yang sangat ringan dan tidak mengambil banyak masa, namun impak positifnya sangat besar di akhirat kelak.
•Mendoakan orang yang bersin nampaknya ringan, namun besar nilainya di sisi Allah SWT.
•Membuang sampah di masjid.
•Membantu orang yang memerlukan walaupun dengan kata-kata dan nasihat yang baik akan ditulis sebagai sedekah yang sangat berharga.
•Memberi makan kepada binatang yang sedang kelaparan dan kehausan.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kau meremehkan perbuatan baik (makruf) sekecil mana pun, walau dengan hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.”
- Riwayat Al-Bukhari
Larangan Kecil
Sebaliknya, jangan sekali-kali kita meremehkan larangan Allah SWT. Dosa, walau sekecil mana pun, yang dilakukan terus-menerus, ibarat racun berbahaya yang akan membinasakan kehidupan manusia di dunia dan membawa ke neraka di akhirat. Orang yang berakal waras, dan mencintai hidupnya, tidak akan cuba untuk meminum racun walaupun hanya setitik, sebab dia tahu kesannya boleh jadi amat besar.
Ibn Al-Mubarak meriwayatkan dari Ibn Mas’ud: “Jauhilah dosa-dosa yang dianggap ringan, sebab dosa-dosa itu akan menebal dan seterusnya membinasakan pelakunya.”
Imam Al-Nasaie dan Ibn Hibban meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Seorang itu kadang-kadang tidak mendapat rezeki akibat dosa yang dilakukan.”
Imam Al-Thabarani meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, dia berkata: “Saya yakin bahawa seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang dilakukannya.”
Perlu berhati-hati dengan kalimat yang kita ucapkan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seringkali sepatah perkataan yang di ucapkan seseorang, membuatkannya melayang-layang di neraka 70 tahun.”
Anas bin Malik bercerita: Suatu hari ketika seorang lelaki duduk bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba anak lelakinya datang. Orang itu segera mengambil anak itu lalu menciumnya dan mendudukkannya di pangkuan. Tidak lama kemudian, datang anak perempuannya Orang itu hanya mengambilnya lalu mendudukkannya di samping tempat duduknya. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu tidak adil kepada anakmu ini.”
- Riwayat Al-Baihaqi
Ibubapa kadang-kadang menyayangi salah seorang anaknya melebihi anak yang lain. Kita anggap ianya perkara remeh atau ringan, padahal di sisi agama menilainya sebagai suatu kezaliman.
Author: Umar Muhammad Noor
Dipetik dari Majalah Solusi
No comments:
Post a Comment