Menurut ulamak: Karamah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan Allah untuk orang-orang soleh yang menjadi pengikut RasulNya, yang beriltizam dengan hukum-hakam Syari’at Allah tanpa sebarang kekeliruan dan percanggahan dengannya.
Contoh Karamah yang ada di dalam al-Quran ialah:-
1. Karamah Allah kepada Ashabil-Kahfi.
2. Karamah Allah kepada Maryam (Ibu Nabi Isa a.s.).
3. Karamah Allah untuk Ashif (seorang soleh pengikut Nabi Sulaiman a.s. yang dapat memindahkan singgahsana Balkis dalam sekelip mata, iaitu lebih pantas dari kemampuan Ifrit. (Lihat Surah an-Naml - Ayat 38-40).
Wali-wali Allah diberi karamah, tetapi karamah mesti difahamai apa makna sebenarnya dan kepada siapa ia dikurniakan Allah. Ramai wali-wali palsu mendakwa mereka ada karamah, walhal sebenarnya bukan karamah tetapi sihir, istidraj, atau ihanah. Jika semata-mata benda pelik atau luar biasa, bukan karamah sahaja yang luar biasa, tetapi sihir, istidraj dan ihanah juga luar biasa.
Wali ada dua - wali Allah dan wali Syaitan. Asas untuk mengenali wali Allah bukan terletak pada kebolehan luar biasa yang mampu ia tunjukkan kepada orang lain, tetapi pada keteguhan imannya kepada Allah, pegangannya dengan Syari’at dan pada perjuangannya (yakni perjuangannya untuk Allah dan agama Allah, bukan untuk menonjolkan kehebatan diri).
Imam Ibnu Taimiyyah berkata; “Jika seseorang itu melakukan zikrullah siang dan malam, di samping menjalani hidup secara zuhud dan sentiasa bersungguh-sungguh beribadah padahal (dalam keadaan begitu) orang itu tidak mahu mengikuti ajaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah, maka orang tersebut ialah wali Syaitan, sekalipun ia boleh terbang di udara dan berjalan di atas air. Kerana sesungguhnya Syaitanlah yang membawanya terbang di udara” (al-Furqan, Ibnu Taimiyyah, hlm. 12).
Pengalaman saya membaca biodata-biaodata para ulamak termasuk tokoh-tokoh sufi, tidak pernah saya berjumpa ada ulamak atau ahli sufi yang mencanang di depan orang ramai, "Aku adalah wali Allah". Begitu juga, tidak ada yang menunjuk-nunjukkan kehebatan mereka di depan orang lain. Yang menyebut dia adalah wali Allah ialah ulamak-ulamak sezaman dengannya atau orang ramai yang mengenalinya; dari keperibadiannya, perwatakannya, perjuangannya, jasanya kepada Islam dan sebagainya. Jika berlaku karamah, bukan dengan kehendak dirinya, tetapi kehendak Allah yang ingin memuliakannya di hadapan orang ramai kerana kesolehannya dan perjuangannya.
Alangkah bezanya Auliya’ Allah (wali-wali Allah) dari Auliya’ Syaitan yang suka mengangkat diri dan menunjuk-nunjuk kehebatan diri sendiri, tetapi perjuangan untuk Allah tidak setara mana dan masa depan diri juga belum tahu (samada akan ke syurga atau ke neraka).
Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya”.
- (HR Abu Nu’aim dari Abu Hurairah r.a.).
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Al-‘Aqidah al-Islamiyyah, Syeikh Abdurrahman Habannakah.
3. al-Furqan Baina Auliyaillah Wa Auliyaish-Syaitan, Imam Ibnu Taimiyyah.
4. Intisari Iman dan Aqidah Islam, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
Nota Kaki:
[1] Istidraj ialah suatu perkara luar biasa yang diberikan kepada orang fasik untuk menipunya. Ihanah pula ialah perkara luar biasa yang bertujuan untuk menghina seperti yang berlaku kepada Musailamah al-Kazzab (yang mengaku Nabi) di mana ia mendakwa dapat menyembuhkan penyakit buta, lalu dibawa kepadanya seorang yang buta sebelah matanya. Musailamah meludah ke mata orang itu (yakni ke sebelah yang buta), namun apa yang jadi ialah; bukan mata yang buta menjadi celik tetapi yang celik turut menjadi buta.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment