Soalan:
Apakah dikira berdosa kita beri hutang kepada orang yang tidak layak?
Jawapan:
Memberi hutang kepada orang yang tidak layak, boleh menjerumuskan mereka kepada tiga dosa:
1. Bercakap, lalu berbohong.
2. Berjanji, lalu mungkiri janji.
3. Ada duit, tapi tangguh bayar - lalu tergolong dalam kumpulan “Mumatil” dan dihukum zalim oleh Nabi s.a.w.
Dari sudut Islam, jika ada yang ingin meminjam wang daripada anda, adalah elok anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutang kelak, kecuali jika anda sudah berniat dari awal untuk disedekahkan kepada peminjam pada waktu kesusahannya.
Menghalalkan hutang merupakan satu tindakan yang amat terpuji. Tetapi jika kita tidak berniat untuk menghalalkannya atau memberikan tempoh lebih panjang pada waktu peminjam sukar untuk membayar, eloklah kita jangan memberikan hutang itu kerana ia boleh menjerumuskan si peminjam ke dalam pelbagai dosa seperti yang di sebutkan di dalam hadis:
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya seseorang itu apabila ia berhutang, ketika ia berbicara, ia kerap berdusta, apabila berjanji ia kerap mengingkarinya.”
-Riwayat al-Bukhari.
“Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan, adalah satu kezaliman.”
- Al-Bukhari 3/55
Bagi orang sebegini, para ulama menyatakan harus hukumnya untuk ditangkap dan dijatuhkan hukuman takzir.
Imam al-Haithami pula mengatakan: “Orang berkemampuan tapi menangguhkan melunas hutang dengan sengaja, dikira sebagai salah satu dari dosa besar.”
- Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250
Author: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Dipetik dari Majalah Solusi
No comments:
Post a Comment