Persoalan berkenaan surat berantai.
Soalan 1
Ustaz, saya ada menerima surat berantai yang pada amnya mengajak kita bertakwa kepada Allah. Tetapi di akhir surat itu ada diceritakan berkenaan kisah orang yang mendapat bala kerana tidak menyebarkan sebanyak 20 salinan kepada orang lain. Apa pandangan ustaz?
Soalan 2
Baru-baru ini saya ada menerima e-mail yang mengandungi surat berantai. Di dalamnya menceritakan tentang wasiat seorang alim dari Madinah. Di akhir surat tersebut di suruh sesiapa yang membacanya supaya disampaikan kepada orang lain sebanyak 20salinan dalam masa 2 minggu. Sekiranya dilakukan, akan dikurniakan oleh Allah sesuatu hajat atau niat. Dan apabila tidak dilakukan akan terjadi sesuatu perkara yang buruk. Apakah hukumnya mempercayai surat ini? Mungkin pihak AnNur dapat memberikan jawapan yang tepat kepada masalah ini supaya saya dapat edarkan kepada rakan-rakan saya yang masih mengedarkan risalah ini.
Jawapan :
Ada beberapa perkara yang boleh dikupas:
Pertama - dari segi isi.
Kebatilannya terbukti apabila surat ini mendakwa Sheik Ahmad bertemu Rasulullah s.a.w dalam mimpi dan memberi pesanan kepadanya. Kita ketahui bahawa dalam khutbah terakhir ketika haji wida', Rasulullah s.a.w telah bersabda "Telah sempurna bagimu agamamu" yang membawa maksud bahawa tiada lagi wahyu atau ugama yang akan turun selepas itu. Mahu ikut yang mana? Surat inikah atau Al Quran?
Kedua - dari segi arahannya.
Sekiranya kita percaya bahawa dengan mengedar 20 keping surat ini akan membawa rezeki atau kebaikan dan sebaliknya; sekiranya tidak, maka kita akan ditimpa bencana - maka secara tidak langsung, kita percaya bahawa ada lagi kuasa selain Allah SWT. Ini akan menjadikan kita syirik. Na'uzubillah.
Ini adalah satu dakyah untuk memesongkan aqidah umat Islam. Mari kita kaji pula niat disebalik surat berantai ini. Ia mengandungi isi yang menceritakan tentang Sheik Ahmad yang kononnya bertemu Rasulullah s.a.w dalam mimpinya. Memang tiada cara untuk membuktikan kesahihannya.
Jika tidak dihiraukan, maka semacam ada keresahan dalam hati seolah-olah menanti bencana yang dijanjikan. Maka dengan keresahan inilah syaitan dapat menakluk hati kita, memesongkan aqidah kita.
Kesimpulannya, janganlah percayakan surat berantai dan selagi ada umat yang percayakannya, maka ianya tetap akan beredar hingga bila-bila. Dari penerangan di atas, jelaslah mempercayai surat berantai adalah haram.
Wallahu'allam.
Jika anda ingin tahu dari siapakah bermulanya surat berantai yang kononnya dari Sheikh Ahmad yang bermimpi bertemu Rasulullah didalam mimpinya, bacalah keterangan dibawah ini:-
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978
SURAT SHEIK AHMED PALSU, KHURAFAT DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD
Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings of St Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg). Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun.
Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW di Madinah antara tahun 1967-hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheik Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.
Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).
Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barangsiapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telahpun dikirimkan risalah ini". (Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).
Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam.".
Lagipun, "surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan SHEIK AHMAD sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda".
Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini "paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad (secara tidak sengaja) terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar (jika sengaja) maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya.
Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat. Sesungguhnya ulamak sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si-pengirim.
Rujukan: AnNur
No comments:
Post a Comment