Ada satu kemuskilan: Adakah dibolehkan diulang sembahyang fardhu dalam 1 waktu jika kita merasakan sembahyang yang mula-mula kita lakukan tadi tidak sempurna. Cth: Sewaktu pergi membeli-belah, telah pun menunaikan solat di tempat tersebut, tetapi merasakan seperti tidak puas hati kerana orang terlalu ramai atau rasa terlalu kenyang kerana selepas makan. Apabila pulang, masih ada waktu dan sembahyang sekali lagi dirumah.
- Sahabat saya mengatakan tidak boleh.
Pendapat peribadi saya - boleh (tetapi tidak mampu untuk mengemukan dalil).
Wallahuallam. Terima kasih
JAWAPAN:
Mengulangi sembahyang fardhu tanpa sebab yang syar'ie dilarang oleh syarak.
Sabda Nabi s.a.w.: "Jangan kamu melakukan satu-satu solat dalam satu hari sebanyak dua kali."
- Direkod oleh Abu Daud (no: 579), Nasaie (no: 860), Ibn Khuzaimah (no: 1641), dan lain-lain.
Dikecualikan, seseorang yang telah bersembahyang fardhu terlebih dahulu, kemudian barulah didirikan solat secara jemaah, maka boleh. Bahkan dituntut supaya mengulangi balik sembahyangnya bersama jemaah. Sembahyang yang diulangi bersama jemaah ini dikira sebagai sunat.
Dalam peristiwa Haji Widak, Nabi s.a.w. bersembahyang Subuh di Masjid Khaif (di Mina). Selepas selesai solat, baginda melihat ada dua orang yang tidak menyertai solat jemaah. Setelah ditanya, mereka mengatakan telah bersembahyang di kediaman mereka. Lalu baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan demikian. Apabila kamu telah bersembahyang di kediaman kamu, kemudian kamu mendatangi masjid jemaah, maka bersembahyanglah bersama mereka. Maka sesungguhnya ia menjadi sunat bagi kamu."
- Direkod oleh Tirmizi (no: 219) dan katanya "Hadis Hasan Sahih", Nasaie (no: 858).
Manakala apa yang saudara lakukan, iaitu mengulangi solat fardhu kerana alasan tidak puas hati, dan diulangi pula di rumah bukan secara jemaah, ia tidak dianjurkan syarak. Malahan, di larang.
Apa-apa solat fardhu yang kita tidak puas hati dari segi kesempurnaannya, boleh ditampung dengan melakukan solat-solat sunat. Kecuali jika diyakini berlaku kecacatan dari segi rukun atau syarat yang menyebabkan batal sembahyang, maka hendaklah diulangi balik sembahyangnya.
Wallahu A'lam.
by Abu_Umair
al-ahkam.net
No comments:
Post a Comment