Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: "Setiap yang masuk ke dalam syurga diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam neraka jika seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan. Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga jika seandainya dia melakukan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya.”
- (Bukhari)
Huraian:
Syurga dan neraka bukanlah asing bagi pendengaran manusia yang sampai kepadanya seruan dakwah Islam. Namun begitu tidak banyak yang mengambil iktibar di atas setiap peringatan yang diberikan iaitu tentang azab yang bakal dikenakan kepada orang yang melanggar perintah Tuhan dan balasan nikmat yang bakal dinikmati oleh orang yang beriman dan beramal soleh.
Lantaran itu di akhirat kelak tiada manusia yang tidak akan menyesal di atas segala kejahatan yang telah dilakukan bila mana mereka melihat akan keindahan syurga yang diperlihatkan kepada mereka berserta dengan segala nikmat di dalamnya, manakala orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga pula akan merasa sungguh bersyukur kerana terselamat daripada bencana yang amat mengerikan sepertimana yang mereka lihat pada neraka dan penghuni neraka yang mengalaminya.
Oleh itu kita selaku orang yang masih hidup yang masih mempunyai harapan (peluang) untuk memperbaiki nasib kita di akhirat kelak hendaklah segera bertaubat dan mengerjakan amalan yang diredhai Allah SWT agar nanti kita tidak tergolong di kalangan mereka yang rugi.
No comments:
Post a Comment