Soalan:
Adakah perlu lagi untuk mengambil wuduk selepas mandi wajib?
Jawapan;
Dalam sebuah hadis diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak mengambil wuduk selepas mandi janabah”.
- (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah, an-Nasai dan Imam Ahmad. Hadis ini menurut Imam at-Tirmizi; hasan soheh. Ia dikeluarkan juga oleh Imam al-Baihaqi dengan sanad yang baik)
Berkata Imam at-Tirmizi: Hadis ini menjadi pandangan ramai ulamak dari kalangan Sahabat dan Tabi’ie iaitu tidak perlu lagi mengambil wuduk selepas mandi wajib; yakni memadai dengan wuduk yang diambil sebelum mandi atau memadai dengan mandi itu sendiri.
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Abdullah bin ‘Umar r.a.: "Sesungguhnya saya mengambil wudhuk selepas dari mandi wajib". Beliau berkata kepada lelaki itu: "Sesungguhnya engkau telah berlebih-lebihan".
Menurut Abu Bakar Ibn al-‘Arabi: “Para ulama tidak berbeza dalam menyatakan bahawa wuduk itu termasuk di bawah mandi. Niat bersuci dari janabah (yakni hadas besar) merangkumi bersuci dari hadas (kecil) dan sekaligus menghilangkannya (yakni hadas kecil itu) kerana tegahan-tegahan dengan sebab janabah (hadas besar) lebih banyak dari tegahan-tegahan kerana hadas kecil. Oleh demikian yang lebih sedikit telah terangkum di dalam niat (melakukan) yang lebih banyak dan berniat melakukan yang lebih besar telah mencukupi dari melakukan yang lebih kecil”.
Wallahu A’lam.
Rujukan;
1. Nailul-Autar, jil. 1, Kitab at-Thaharah, Bab Sifat al-Ghusl.
2. Yas-alunaka ‘An ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jil. 6, hlm. 20.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment